Page 8 - Laporan kajian impak
P. 8
6
PRAKATA
Dasar Gaji Minimum diperkenalkan oleh Kerajaan dengan
matlamat untuk menjadikan ia salah satu instrumen
dalam mentransformasikan ekonomi negara di samping
memperbetulkan herotan dalam pasaran buruh. Kerajaan
telah mewartakan kadar gaji minimum yang seragam
RM1,100 sebulan di seluruh negara melalui Perintah Gaji
Minimum (PGM) 2018 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019.
Dua PGM sebelum ini iaitu PGM 2012 dan PGM 2016
menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza mengikut
wilayah. Kadar gaji minimum ditetapkan RM900 sebulan
bagi Semenanjung dan RM800 sebulan bagi Sarawak
dan Sabah & Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan dalam
PGM 2012 serta RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan
RM920 sebulan bagi Sarawak dan Sabah & W.P Labuan
dalam PGM 2016.
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan
sebahagian besar daripada jumlah pertubuhan
perniagaan dan memberi sumbangan besar kepada
ekonomi negara. Kajian terperinci ini dijalankan bagi
melihat impak pelaksanaan gaji minimum terhadap PKS.
Dapatan Kajian ini diharapkan dapat menjadi penanda
aras dalam memastikan keberkesanan objektif dasar gaji
minimum terhadap PKS dalam PGM yang akan datang.
Laporan Kajian ini adalah hasil kerjasama pelbagai
pihak yang telah menunjukkan komitmen yang amat
tinggi dalam segala aspek. Justeru, saya mengambil
kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua ahli Jawatankuasa Teknikal
Perundingan Gaji Negara (JTPGN), Sekretariat Majlis
Perundingan Gaji Negara (MPGN), Kumpulan Penyelidik
Gaji dan Gaji Minimum serta semua pihak yang terlibat
sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam
pengumpulan maklumat dan penyediaan laporan Kajian
ini.
Sekian, terima kasih.
YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar bin Ali
Pengerusi
Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara
Tarikh: 14 September 2019

