16/01/2018 - SETUJU TUBUH MAJLIS TVET
- Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 11:29
- Jumlah paparan: 40247
SETUJU TUBUH MAJLIS TVET
Berita Harian (Online) : 16/01/2018
CYBERJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia Peringkat Menteri di sini semalam bersetuju menubuhkan Majlis TVET yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata Majis TVET itu juga akan menjadi sebahagian daripada Majlis Modal Insan (MMI).
"Majlis TVET ini antara lain bertujuan menyelaras agenda-agenda kerajaan dalam melonjakkan TVET di negara ini.
"Ia akan dipengerusikan Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan.
Sementara itu, MMI sebagai majlis di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) berperanan dalam merancang pembangunan dan pengurusan sumber manusia negara.
Dalam pada itu Richard berkata, mesyuarat jawatankuasa hari ini menyaksikan penyertaan kesemua tujuh kementerian berkaitan TVET sekali gus mencerminkan komitmen mereka dalam memperkasa pendidikan berkenaan di negara ini.
"Komitmen ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam mempertingkatkan peratusan pekerja mahir negara kepada 35 peratus pada 2020 berbanding 28 peratus ketika ini.
"Mesyuarat ini juga satu manifestasi terhadap kesediaan semua pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam mengarusperdanakan TVET seperti yang pernah digariskan oleh Najib ketika pelancaran TVET Malaysia ketika membentangkan Bajet 2018 sebelum ini," katanya.
Terdahulu dalam ucapan aluan mesyuarat berkenaan, beliau mengumumkan pelantikan Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing sebagai Penasihat TVET Malaysia.
Katanya, pemilihan itu juga sebagai pengiktirafan sumbangan secara signifikan Kok Wing terhadap pembangunan TVET di negara in.
"Dengan pengenalan terhadap TVET Malaysia, sumbangan Kok Wing adalah semakin besar terutama dalam penjenamaan TVET Malaysia.
"Saya mengucapkan penghargaan kepada Kok Wing kerana dipilih sebagai Penasihat TVET Malaysia," katanya.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
16/01/2018 - LIM KOK WING DILANTIK PENASIHAT TVET
- Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 11:26
- Jumlah paparan: 51749
LIM KOK WING DILANTIK PENASIHAT TVET
Harian Metro (Online) : 16/01/2018
PENGASAS dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing dilantik sebagai Penasihat TVET Malaysia.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Richard Riot ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan TVET Malaysia Peringkat Menteri di Cyberjaya, hari ini.
Richard berkata, pemilihan ikon pendidikan negara itu adalah sebagai mengiktiraf sumbangan signifikan Kok Wing terhadap pembangunan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di negara ini.
"Menerusi pengenalan TVET Malaysia, sumbangan Kok Wing dilihat semakin besar terutama dari segi penjenamaan," katanya.
Pada masa sama, Richard berkata, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan entiti khusus TVET dikenali Majlis TVET yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Majlis TVET adalah sebahagian daripada Majlis Modal Insan (MMI) dan ia kelak akan membantu melonjakkan TVET di negara ini.
"MMI pula adalah satu unit di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dimana Perdana Menteri juga adalah pengerusi. MMI berperanan merancang dalam pembangunan dan pengurusan sumber manusia," katanya.
Dalam pada itu, katanya, mesyuarat hari ini jugaadalah satu manifestasi terhadap kesediaan semua pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam mengarusperdanakan TVET seperti digariskan oleh Najib ketika pelancaran TVET Malaysia serta ucapan Bajet 2018.
"TVET Malaysia adalah satu penjenamaan semula program dan inisiatif latihan teknikal dan vokasional sepertimana dilancarkan Perdana Menteri pada 27 September tahun lalu di ADTEC Shah Alam, Selangor.
"Kerajaan juga menunjukkan komitmen tinggi bagi pelaksanaan TVET Malaysia dengan memperuntukkan RM4.9 bilion menerusi Bajet 2018," katanya.
Mesyuarat hari ini turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan.
Richard berkata, mesyuarat hari ini menyaksikan penyertaan kesemua tujuh kementerian berkaitan TVET sekali gus mencerminkan komitmen mereka dalam memperkasakan pendidikan berkenaan di negara ini.
"Komitmen itu selaras dengan aspirasi kerajaan dalam mempertingkatkan peratusan pekerja mahir negara kepada 35 peratus pada 2020 berbanding 28 peratus ketika ini," katanya.
Sementara itu, ditanya berhubung isu larangan bertudung terutama berhubung sikap Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang seolah-olah tidak berminat untuk menangani isu itu, Richard berkata, masih terlalu awal untuk memberi reaksi berhubung isu tersebut.
"Ini memandangkan pihak kementerian pun mengeluarkan kenyataan penuh pada minggu lalu berhubung isu larangan bertudung ini jadi, masih terlalu awal untuk kita berkata apa-apa," katanya.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
13/01/2018 - LARANG PEKERJA HOTEL BERTUDUNG: AKTA KERJA 1955 AKAN DIPINDA
- Diterbitkan: Isnin, 15 Januari 2018 16:46
- Jumlah paparan: 52612
LARANG PEKERJA HOTEL BERTUDUNG: AKTA KERJA 1955 AKAN DIPINDA
Sinar Harian (Online) : 13/01/2018
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang memuktamadkan draf cadangan pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan baru-baru ini.
Menterinya Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata cadangan pindaan akta itu adalah hasil perbincangan pada 5 Dis lepas yang melibatkan kementerian dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia.
"Draf pindaan undang-undang tersebut akan diperhalusi segera bersama-sama beberapa agensi lain yang terlibat," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Riot berkata KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) juga telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas 74 buah hotel bertaraf empat dan lima bintang di Pahang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak November 2017.
Menurutnya pemeriksaan tersebut bagi mengenal pasti kewujudan unsur-unsur diskriminasi khususnya mengenai larangan pemakaian tudung dan kod etika pakaian ditetapkan majikan.
Riot berkata pemeriksaan tersebut mendapati 13 buah hotel mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja manakala 61 lagi tidak menetapkan sebarang bentuk polisi berkaitan perkara itu.
Katanya JTKSM telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan hotel berkenaan dan mereka secara dasarnya bersetuju untuk membatalkan larangan tersebut.
"Sebagai contoh, di Johor terdapat empat buah hotel yang mengenakan larangan bertudung dan selepas perbincangan lanjut, mereka akur secara lisan dan bertulis serta membuat pengakuan untuk membatalkan larangan tersebut," katanya.
Riot berkata JTKSM juga telah mengeluarkan surat kepada dua persatuan dan 10 kesatuan sektor perhotelan pada 18 Disember 2017 untuk mendapatkan pandangan bertulis berhubung isu itu.
Katanya Persatuan Pengusaha Hotel (MAH) dalam maklum balasnya menyatakan polisi melarang pekerja bertudung adalah bergantung kepada pengurusan hotel masing-masing.
Dalam pada itu, Riot turut mengulangi gesaannya kepada majikan, khususnya pengusaha hotel di seluruh negara, agar memberi komitmen dan kerjasama dalam usaha berterusan kerajaan untuk memelihara keharmonian di tempat kerja.
Justeru katanya majikan perlu sentiasa menghormati hak–hak pekerja yang digajikan bukan sahaja dari segi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang perburuhan sedia ada di negara ini, tetapi turut menghormati hak-hak individu seperti yang termaktub di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang bentuk diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras dan keturunan," katanya. – Bernama
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
14/01/2018 - DISKRIMINASI WANITA BERTUDUNG
- Diterbitkan: Isnin, 15 Januari 2018 16:49
- Jumlah paparan: 43107
DISKRIMINASI WANITA BERTUDUNG
Utusan Malaysia (Dalam Negeri) : 14/01/2018
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Kementerian Sumber Manusia mengesan 13 hotel di beberapa negeri mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja yang bertentangan dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berasaskan agama dan keturunan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, sehubungan itu, pindaan undang-undang bagi menangani larangan diskriminasi di tempat kerja akan disegerakan melibatkan pengenalan peruntukan baru di bawah Akta Kerja 1955.
Katanya, pada masa sama, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) mengadakan perbincangan dengan hotel terlibat dan hasilnya mereka bersetuju secara dasar untuk membatalkan polisi tersebut sebagaimana melibatkan empat pengusaha hotel di Johor yang telah memberikan perakuan secara lisan dan bertulis.
“Hasil siasatan yang dilakukan kementerian ke atas 74 buah hotel bertaraf empat dan lima bintang di Pahang (33), Selangor (14), Johor (15), Kuala Lumpur (enam) dan Putrajaya (enam) bermula November lalu mendapati 13 daripadanya mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja.
“Kementerian ingin mengulangi gesaan kepada majikan supaya menghormati hak-hak para pekerja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan pada masa sama draf cadangan pindaan undang-undang tersebut akan diperhalusi segera bersama beberapa agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isu pekerja hotel dilarang memakai tudung menjadi perhatian ramai setelah mendapat liputan meluas Utusan Malaysia November lalu sehingga membawa kepada penyiasatan JTKSM melibatkan beberapa hotel terkemuka di seluruh negara.
Isu tersebut timbul apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam di bahagian kaunter yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.
Tambah Richard Riot, selain tindakan pemeriksaan tersebut, kementerian juga telah mengadakan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan beberapa pihak lagi.
Katanya, mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan polisi larangan pekerja bertudung serta mendapatkan pandangan agensi lain di dalam menangani isu tersebut termasuk mengenai usul memperkenalkan peruntukan baharu berhubung isu larangan diskriminasi di bawah Akta Kerja 1955.
“Susulan daripada mesyuarat tersebut juga, JTKSM telah mengeluarkan surat kepada dua persatuan dan 10 kesatuan sektor perhotelan pada 18 Disember lalu untuk mendapatkan pandangan bertulis berhubung isu polisi larangan bertudung.
“JTKSM telah menerima maklum balas Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH) yang menyatakan polisi larangan pakaian tudung adalah terpulang kepada pengurusan hotel dan kenyataan itu bertepatan dengan tindakan yang sedang dilaksanakan melalui Pemeriksaan Berkanun ke tempat pekerjaan sektor perhotelan secara berterusan bagi tujuan pemantauan lanjut berhubung perkara ini,” jelasnya.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
10/01/2018 - JUMLAH PEKERJA HILANG KERJA MASIH DI TAHAP BIASA, KATA RIOT
- Diterbitkan: Khamis, 11 Januari 2018 11:28
- Jumlah paparan: 55240
JUMLAH PEKERJA HILANG KERJA MASIH DI TAHAP BIASA, KATA RIOT
The Malaysian Insight (Online) : 10/01/2018
JUMLAH pekerja yang hilang pekerjaan pada tahun lepas masih ditahap 'biasa', tidak seperti yang digambarkan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), kata Menteri Sumber Manusia Richard Riot.
Beliau berkata dakwaan MEF bahawa lebih 50,000 pekerja hilang pekerjaan pada 2017 mungkin dibuat tanpa merujuk kepada sumber yang betul kerana statistik Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menunjukkan sebaliknya.
"Saya tidak pasti daripada mana mereka mendapat jumlah tersebut dan sebab itu saya anggap ia mungkin hanya ramalan MEF.
"Berdasarkan kajian JTK, lebih kurang 35,000 orang sahaja yang hilang pekerjaan dan dalam hal ini, ia adalah perkara biasa," katanya mengulas mengenai kenyataan MEF bahawa lebih 50,000 pekerja dijangka hilang kerja disebabkan keadaan ekonomi yang lembap.
Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kepada lapan pemohon pertama di Putrajaya hari ini, Riot berkata keadaan itu akan ditampung dengan jumlah 300,000 pekerjaan yang bakal diwujudkan tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, sektor pembuatan dijangka menyediakan peluang pekerjaan tertinggi diikuti perladangan dan perkhidmatan, katanya.
Menurut laporan JTK, seramai 35,097 pekerja terlibat dengan pemberhentian bagi tempoh Januari hingga Disember 2017, menurun 6.2 peratus berbanding 37,699 orang pada 2016.
Daripada jumlah itu, seramai 31,159 pekerja atau 89 peratus diberhentikan melalui pemberhentian biasa berbanding 3,938 pekerja atau 11 peratus diberhentikan melalui pemberhentian secara sukarela (VSS) dengan pemberhentian pekerja tertinggi berlaku dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 25,370 orang (72 peratus).
Mengenai SIP, Riot berkata skim sebagai jaminan kepada para pekerja yang hilang pekerjaan untuk segera dibantu itu sehingga kini telah menerima 175 permohonan sejak berkuat kuasa 1 Januari lepas.
Di bawah Akta Sistem Insurans 2017, individu yang kehilangan pekerjaan layak menerima faedah interim sebanyak RM600 bagi tempoh maksimum tiga bulan, namun pembayaran akan dihentikan sekiranya pemohon telah mendapat pekerjaan baharu. – Bernama, 10 Januari, 2018.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
Halaman 4 dari 4
- Mula
- Seterusnya
- 1
- 2
- 3
- 4
- Seterusnya
- Tamat