03/04/2018 - MALAYSIA TIDAK BERDEPAN MASALAH PENGANGGURAN SERIUS
- Diterbitkan: Rabu, 04 April 2018 16:41
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 14703
MALAYSIA TIDAK BERDEPAN MASALAH PENGANGGURAN SERIUS
Bernama (Online) : 03/04/2018
KUALA LUMPUR, 3 Apr: Tahap pengangguran negara tidak pernah melebihi kadar 3.7 peratus iaitu tahap yang rendah sejak 2000 hingga 2017.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata ia membuktikan bahawa negara tidak berdepan masalah pengangguran serius sebaliknya menggunakan tenaga kerja penuh.
“Dalam tempoh hampir 20 tahun itu, secara keseluruhannya kadar pengangguran negara berada di bawah paras 3.5 peratus. Hanya pada 2003 sahaja kita berada pada tahap 3.6 peratus dan 3.7 peratus pada 2009.
“Peratusan itu membuktikan bahawa negara tidak berdepan masalah pengangguran serius dengan negara-negara yang berada pada tahap 4 peratus diklasifikasi sebagai negara berpengangguran,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata selain komited menangani pengangguran dalam kalangan graduan menerusi inisiatif seperti latihan berkemahiran tinggi, kerajaan juga serius membela nasib pekerja yang diberhentikan majikan.
Menurutnya kerajaan memperuntuk sejumlah RM122 juta bagi Skim Insurans Pekerjaan (SIP) supaya mereka yang berkenaan diberi ruang dan peluang mendapatkan pekerjaan baharu termasuk latihan kemahiran yang disediakan kementerian.–Bernama
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
24/03/2018 - ILP SERIAN MAMPU LAHIR MODAL INSAN APABILA BEROPERASI MULAI 2021
- Diterbitkan: Rabu, 28 Mac 2018 09:35
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 8406
ILP SERIAN MAMPU LAHIR MODAL INSAN APABILA BEROPERASI MULAI 2021
Utusan (Online) : 24/03/2018
SERIAN 24 Mac- Usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di Sarawak terus diperkasa melalui pembinaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian yang dijangka siap dibina dan mula beroperasi pada 2021.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pembinaan ILP menelan kos RM300 juta itu dijangka bermula Mei nanti.
Katanya, tempoh pembinaan ILP itu mengambil masa kira-kira 33 bulan dan dijangka dapat beroperasi pada 2021.
"Pembinaan ILP Serian merupakan cawangan yang ke-24 di bawah Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
"Institusi pendidikan ini akan memberi kelebihan kepada anak tempatan untuk mempelajari pelbagai ilmu dalam bidang kemahiran yang ditawarkan selari dengan keperluan setempat," katanya berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek ILP Serian di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas.
Menurut Richard Riot, apabila siap nanti, ILP itu yang boleh menempatkan 600 pelatih untuk mengikuti kursus sepenuh masa dan sambilan.-UTUSAN ONLINE
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
20/03/2018 - 1,299 PUSAT BERTAULIAH LATIH PEKERJA MAHIR
- Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2018 03:59
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 22152
1,299 Pusat Bertauliah latih pekerja mahir
Berita Harian (Online) : 20/03/2018
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,229 Pusat Bertauliah (PB) ditubuhkan bagi melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 sehingga 31 Januari lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata jumlah itu merangkumi 587 PB awam dan 642 PB swasta yang menyediakan pelbagai program kemahiran berpandukan kepada standard kemahiran pekerjaan kebangsaan.
"Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan sijil kemahiran yang dikeluarkan boleh diguna pakai dalam pelbagai sektor pekerjaan dalam negara.
"Sehingga kini sebanyak 1.7 juta sijil kemahiran sumber manusia dianugerahkan kepada pelatih yang berjaya menamatkan tauliah di PB masing-masing," katanya semasa menggulung ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, di sini, hari ini.
Richard Riot yang juga Ahli Parlimen Serian, berkata kementeriannya melalui Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia berjaya memberi latihan komprehensif melalui latihan kemahiran pra pekerjaan kepada pelajar lepasan sekolah secara sementara dan sepenuh masa.
"Berdasarkan pelbagai kursus ditawarkan dari peringkat sijil hingga diploma, bidang latihan yang di tawarkan meliputi pelbagai sektor penting dalam negara antaranya mekanikal, elektrikal, pengeluaran dan juga percetakan.
"Kita percaya dengan penekanan 70 peratus amali dan 30 peratus teori dalam latihan yang diberi, pelatih boleh menguasai bidang yang diceburi selepas tamat latihan," katanya.
Menurut Richard lagi, berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya dalam mengukur tahap kebolehpasaran graduan, sebanyak 91.3 peratus iaitu 9,263 pelatih berjaya menempah kerjaya dalam dalam sektor kemahiran dalam negara.
"Daripada jumlah itu pula, sebanyak 63 peratus pelatih bekerja dalam bidang yang dipelajari sekali gus membuktikan kebolehpasaran program latihan yang ditawarkan.
"Bagaimanapun, kita akan terus memantau dan memberi nasihat kepada pelatih bagi memastikan program latihan yang ditawarkan mengikut kehendak sektor," katanya.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
22/03/2018 - MAJLIS TVET PERLU DIWUJUDKAN - TPM
- Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2018 10:43
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 13252
MAJLIS TVET PERLU DIWUJUDKAN - TPM
Berita Harian (Online) : 22/03/2018
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha memperkasa bidang kemahiran di Malaysia, sekali gus memperlihat keseriusan kerajaan melaksanakan program itu.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri berharap satu kertas memorandum mengenai penubuhan majlis itu akan disediakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot untuk diserahkan kepada jemaah menteri, sebelum dibentangkan dalam Kabinet kelak.
"Saya cadangkan Majlis TVET supaya koordinasi dapat dilakukan jika dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita memerlukan sebuah badan yang boleh membantu graduan dalam kebolehpasaran dalam bidang kemahiran. Sekarang ini, saya lihat tidak selaras.
"Melalui majlis ini, kita harap dapat melahirkan pekerja mahir dengan gaji minimum RM3,500. Setakat ini, gaji tenaga kerja tempatan yang mahir cuma RM1,200. Ini sangat tidak adil kerana gaji pekerja asing mahir adalah RM3,000," katanya pada sidang media selepas perasmian Ekspo TVET Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini
Dalam menjayakan usaha itu, Ahmad Zahid turut menawarkan diri sebagai pengerusi supaya segala proses bagi menentukan sebarang pelaksanaan bawah majlis ini berjalan lancar.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
15/03/2018 - RPEL penuhi sasaran 35 peratus pekerja mahir
- Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2018 07:18
- Jumlah paparan: 15297
RPEL penuhi sasaran 35 peratus pekerja mahir
Utusan Malaysia:15/03/2018
KUALA LUMPUR 15 Mac – Program Pengiktirafan Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (RPEL) anjuran Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) mampu memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai 35 peratus pekerja mahir di negara ini menjelang 2020.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot Jaem berkata, program ini memberi latihan kepada pencari kerja bidang kemahiran, golongan pesara dan yang akan bersara terutamanya anggota tentera.
Malah, katanya, program ini setanding dengan program latihan yang dijalankan di negara-negara maju seperti England dan Australia.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian para graduan sijil tahap empat ini atau dipanggil diploma.
“Dengan diploma, kebolehpasaran pekerjaan akan ditingkatkan berbanding mengehadkan peluang mereka kepada pekerjaan seperti pemandu teksi, pemandu lori dan pengawal keselamatan,” katanya sewaktu berucap pada majlis graduasi RPEL di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 graduan sulung RPEL menerima diploma masing-masing hari ini.
Mereka adalah merupakan sebahagian daripada 7,328 pelatih yang diluluskan di bawah program itu di seluruh negara.
Para pelatih berkenaan terdiri daripada peserta Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
RPEL memberi pengiktirafan formal dan diploma untuk kemahiran, pengetahuan serta pengalaman teknikal dan pengurusan yang diperoleh daripada alam pekerjaan, pengalaman kehidupan atau pendidikan terdahulu para peserta. - UTUSAN ONLINE
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
Halaman 3 dari 4