01/05/2018 - NAJIB UMUM ‘HADIAH’ UNTUK PEKERJA SWASTA
- Diterbitkan: Rabu, 02 Mei 2018 14:31
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 14234
NAJIB UMUM ‘HADIAH’ UNTUK PEKERJA SWASTA
Free Malaysia Today (Online) : 01/05/2018
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membawa khabar gembira untuk warga pekerja khususnya di sektor swasta dengan pengumuman 5 “hadiah” bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam ekonomi dan pembangunan negara.
Beliau berkata antaranya adalah kerajaan akan menyediakan peruntukan geran khas sebanyak RM3 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai menghargai wala’ dan kesetiaan warga pekerja kepada kerajaan dan negara selama ini.
“Pemberian geran khas ini akan dibuat pada tahun ini dan terpulang kepada MTUC bagaimana untuk mengagihkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang lain,” kata beliau semasa berucap di hadapan ribuan warga pekerja yang menghadiri sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Beliau menekankan seluruh warga pekerja di sektor awam dan swasta serta majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara adalah “darah daging” kepada tanah air ini.
Mengumumkan hadiah ke-2, Najib berkata jika ditakdirkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 dan RM920 sekarang kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga.
Najib berkata beliau dimaklumkan MTUC memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998 namun, tidak diendahkan pemimpin utama kerajaan ketika itu, yang membiarkan nasib pekerja sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.
Dalam masa hanya setahun selepas mengambil alih kepimpinan negara, Najib berkata beliau sendiri mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan diikuti dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang seterusnya menyaksikan gaji minimum ditetapkan RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak pada 2012.
“Pada tahun lepas, kadar gaji minimum ditingkatkan lagi masing-masing sebanyak 11% dan 15% menjadi RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.
Demi memupuk keluarga bahagia untuk warga pekerja, Najib berkata kerajaan BN akan memperkenalkan inisiatif khas cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya 3 hari khusus untuk suami yang bekerja di sektor swasta.
Pindaan peruntukan undang-undang bagi melaksanakan inisiatif itu dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun hadapan, kata Perdana Menteri.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
1/05/2018 - HARI PEKERJA 2018 DISAMBUT MERIAH
- Diterbitkan: Rabu, 02 Mei 2018 13:10
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 17118
HARI PEKERJA 2018 DISAMBUT MERIAH
Utusan Malaysia (Online) : 01/05/2018
KUALA LUMPUR 1 Mei - Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra diwarnai kemeriahan sambutan Hari Peker-ja dengan kehadiran lebih 10,000 pekerja dari seluruh negara.
Sambutan pada tahun ini menggunakan tema ‘Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara.’
Perhimpunan kali ini turut melibatkan kehadiran majikan, kesatuan-kesatuan sekerja dan pihak kerajaan yang menunjukkan bahawa wujudnya ‘tripartite’ semangat kerjasama yang kukuh dalam urusan pekerjaan di negara ini.
Perhimpunan mega ini juga secara tidak langsung menterjemahkan penyatuan golongan pekerja dalam pelbagai peringkat.
Mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan berkanun dan swasta.
Tidak ketinggalan, golongan pekerja dalam kalangan orang kurang upaya yang turut diraikan pada majlis berkenaan.
Tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),Datuk Abdul Halim Mansor dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.
Sambutan Hari Pekerja 2018 bermula seawal pukul 8 pagi dengan aneka persembahan muzik, nyanyian dan tarian daripada Badan Kesenian Tentera Darat.
Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Suara Pekerja.
Kemudiannya, para hadirin turut berpeluang mendengar amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri turut membawa khabar gembira buat warga pekerja dengan lima pengumuman inisiatif dan pe-runtukan tambahan baharu termasuk cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari kepada para suami yang bekerja swasta.
Kemuncak acara sambutan adalah penyampaian 11 anugerah kepada golongan pekerja dan majikan yang cemerlang.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
20/04/2018 - MYAPPRENTICESHIP WUJUD SATU JUTA PELUANG PEKERJAAN BAHARU
- Diterbitkan: Isnin, 23 April 2018 10:18
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 11408
MYAPPRENTICESHIP WUJUD SATU JUTA PELUANG PEKERJAAN BAHARU
Berita Harian (Online) : 20/04/2018
KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad untuk menambah sejuta lagi peluang pekerjaan baharu menerusi program MyApprenticeship, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ia tambahan kepada janji kerajaan untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan baharu seperti diumumkan menerusi Aku Janji Ketiga dalam Manifesto Kerajaan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, penambahan jumlah itu diputuskan dalam satu mesyuarat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pada 22 Februari lalu.
"Selain daripada tiga juta peluang pekerjaan baharu yang akan diwujudkan itu, melalui MyApprenticeship kerajaan bertekad menambah satu juta lagi peluang pekerjaan baharu untuk semua rakyat dan anak-anak Malaysia!
"Ternyata ini sunggu berbeza dengan Manifesto Pakatan Pembangkang yang hanya sekadar menjanjikan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun sama," katanya ketika berucap merasmikan Program MyApprenticeship di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Pada majlis itu juga Najib turut melancarkan portal MyApprenticeship selain menyaksikan pertukaran 18 dokumen kerjasama dan Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan agensi kerajaan dan swasta dengan menyediakan 6,000 tempat skim perantisan.
MyApprenticeship adalah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan dan tertumpu kepada penempatan graduan belia, wanita, diploma dan ijazah serta pekerja untuk mengambil bahagian dalam perantisan di sektor awam dan swasta dalam mendapatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kerja yang berharga demi kebolehpasaran mereka.
Program berkenaan diterajui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kewangan, membabitkan kerjasama NBOS dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Pendidikan dan Blue Ocean Corporate Council (BOCC).
Dalam pada itu Najib berkata, selain peluang pekerjaan baharu, kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai berganda kepada semua syarikat yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.
"Sebagai inisiatif kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam progrma MyApprenticeship ini, maka dengan sukacitanya Kerajaan bersetuju memberikan double 'tax deduction' atau potongan cukai berganda kepada semua syarikat yang terbabit dalam merealisasikan inisiatif besar ini," kata Najib.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
23/04/2018 - NAIK TARAF KOMPLEKS IMIGRESEN TEBEDU BERMULA 1 JULAI
- Diterbitkan: Selasa, 24 April 2018 10:16
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 18424
NAIK TARAF KOMPLEKS IMIGRESEN TEBEDU BERMULA 1 JULAI
Utusan Borneo (Online) : 23/04/2018
TEBEDU: Kerja menaik taraf Kompleks Imigresen Tebedu kepada Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan bermula pada 1 Julai tahun ini.
Justeru, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata dengan pelaksanaan projek tersebut, Tebedu akan menjadi tempat yang kerap dikunjungi pelancong, seperti sebelum 2004.
Menurut beliau, pada masa ini pelancong lebih tertarik untuk melawat Pasar Serikin di daerah Bau yang terletak di sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
“Kerajaan telah merancang mewujudkan zon perdagangan di Tebedu dan ini dijangka dilaksanakan selepas ICQS Tebedu siap kerana ia akan disepadukan dengan Pelabuhan Darat Tebedu (TIP),” katanya. Beliau menyatakan demikian pada Program Mesra Kementerian Sumber Manusia Bersama Masyarakat di Dewan Masyarakat Tebedu di sini, semalam.
Riot menambah, ICQS Tebedu diyakini akan membolehkan kegiatan perdagangan yang lebih besar antara Sarawak dan Kalimantan Barat.
Tambah beliau dengan pengaktifan semula TIP tahun ini, ia tentunya akan membawa banyak manfaat kepada penduduk di Tebedu dan Sarawak secara keseluruhannya.
Pada masa ini, penghantaran kargo antara Pelabuhan Pontianak di Kalimantan Barat dan Pelabuhan Kuching mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk sampai tetapi dengan pengaktifan semula TIP, perjalanan itu dapat dipendekkan kepada hanya lima jam.
Persefahaman untuk membuka semula perdagangan rentas sempadan di Tebedu, Malaysia dan Entikong, Indonesia telah dicapai dalam Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Indonesia Ke-12 di Kuching tahun lepas.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
19/04/2018 - SAMBUTAN HARI PEKERJA 2018 KEKAL 1 MEI
- Diterbitkan: Khamis, 19 April 2018 11:33
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 10098
SAMBUTAN HARI PEKERJA 2018 KEKAL 1 MEI
Berita Harian (Online) : 19/04/2018
Kuala Lumpur: Sambutan Hari Pekerja 2018 peringkat kebangsaan yang bertemakan ‘Pekerja Peneraju Kecemerlangan Negara’ dijangka tetap diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Mei depan. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, mengesahkan pihaknya dihubungi Kementerian Sumber Manusia berhubung sambutan Hari Pekerja itu.“Kementerian Sumber Manusia sebelum ini mengumumkan sambutan Hari Pekerja peringkat nasional ditangguhkan pada tarikh lain dari 1 Mei tanpa perbincangan dengan MTUC. “Berikutan itu, MTUC merancang satu sambutan khas selepas mengetahui pengumuman penangguhan Kementerian Sumber Manusia itu melalui akhbar. Bagaimanapun, kemusykilan timbul apabila Kementerian Sumber Manusia memanggil untuk mengadakan semula sambutan pada 1 Mei. Sambutan bersama “Sambutan 1 Mei adalah majlis sambutan tripartite (tiga pihak) yang dinaungi dan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sambutan secara bersama ini amat baik dan mencetuskan semangat berpasukan untuk pembangunan minda dan modal insan,” katanya. Abdul Halim berkata, di Malaysia 1 Mei diiktiraf sebagai cuti umum yang tidak boleh dipinda dan MTUC bercadang mengemukakan beberapa isu kepada kerajaan, termasuk projek rumah mampu milik pekerja swasta, projek rumah mampu milik kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta kerajaan dan pencarum.“Kita juga akan mengutarakan pindaan Akta Kerja 1955 sejajar sebagai negara maju, pindaan Akta PERKESO dan Akta KWSP dan lapangan kerja berdaftar untuk semua tenaga kerja tempatan baharu daripada semua kategori pendidikan dengan gaji minimum setahun dan bersijil Testimoni Pekerja Terlatih,” katanya. Abdul Halim berkata, objektif cadangan itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana dianggarkan tenaga baharu semua kategori yang memasuki pasaran kerja ialah 500,000 orang setahun.CUEPACS sambut baik Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata pihaknya mengalu-alukan majlis sambutan berkenaan yang turut disambut di seluruh dunia pada tarikh sama.Katanya, beliau difahamkan Perdana Menteri bersetuju supaya sambutan Hari Pekerja peringkat nasional, diteruskan pada 1 Mei ini dan satu mesyuarat berkaitan akan diadakan dalam tempoh masa terdekat. “Memang wajar sambutan itu diteruskan pada 1 Mei ini dan CUEPACS amat mengalu-alukannya. Ia bukan sekadar sambutan biasa tapi pengiktirafan kepada pekerja yang menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara dalam pelbagai sektor,” katanya. Azih berkata, pihaknya turut berharap Najib akan hadir pada sambutan berkenaan dan membawa khabar gembira buat semua pekerja.
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
Halaman 2 dari 4