09/08/2018 - LEPAS SEKOLAH DIGALAK SERTAI ILP
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
- Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 10:52
- Jumlah paparan: 27079
LEPAS SEKOLAH DIGALAK SERTAI ILP
Bernama Online : 09/06/2018
IPOH - Kementerian Sumber Manusia akan membincangkan dengan Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah memasuki Institut Latihan Perindustrian (ILP), kata menterinya, M Kulasegaran.
Beliau berkata, masyarakat terutama lepasan sekolah perlu mengubah persepsi mereka mengenai program ILP yang dilabelkan sebagai “tidak memenuhi tanda aras” memandangkan kebanyakan pelajar berjaya mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
"Mereka tidak menyedari hampir semua pelajar ILP berjaya mendapat pekerjaan, bahkan pelajar jurusan undang-undang pun tidak selalu mendapat pekerjaan apabila menamatkan pengajian,” kata selepas sesi dialog dengan pemain industri mengenai latihan kemahiran di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini, hari ini.
Kulasegaran berkata, pelajar yang tidak mencapai prestasi baik dalam pengajian selepas tingkatan tiga harus dirujuk untuk mendaftar masuk ke institusi tersebut.
“Tidak ada gunanya meminta mereka meneruskan pengajian sehingga peperiksaan tingkatan lima sedangkan mereka tidak menunjukkan minat dalam akademik.
“Oleh itu, membenarkan mereka mengikuti kursus berasaskan kemahiran akan memberi lebih banyak manfaat kepada pelajar dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut Kulasegaran, terdapat 32 ILP di seluruh negara dan sesetengah ILP kurang digunakan sambil menarik perhatian ILP Ipoh hanya mempunyai 491 pelajar walaupun mempunyai kapasiti bagi 900 pelajar
Kulasegaran berkata, beliau mahu menjadikan ILP lebih mudah diakses dan dibuka kepada orang ramai bagi menarik lebih ramai pelajar memasuki institut tersebut. - Bernama