23/04/2018 - NAIK TARAF KOMPLEKS IMIGRESEN TEBEDU BERMULA 1 JULAI

NAIK TARAF KOMPLEKS IMIGRESEN TEBEDU BERMULA 1 JULAI

Utusan Borneo (Online) : 23/04/2018

TEBEDU: Kerja menaik taraf Kompleks Imigresen Tebedu kepada Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan bermula pada 1 Julai tahun ini.

Justeru, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata dengan pelaksanaan projek tersebut, Tebedu akan menjadi tempat yang kerap dikunjungi pelancong, seperti sebelum 2004.

Menurut beliau, pada masa ini pelancong lebih tertarik untuk melawat Pasar Serikin di daerah Bau yang terletak di sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

“Kerajaan telah merancang mewujudkan zon perdagangan di Tebedu dan ini dijangka dilaksanakan selepas ICQS Tebedu siap kerana ia akan disepadukan dengan Pelabuhan Darat Tebedu (TIP),” katanya. Beliau menyatakan demikian pada Program Mesra Kementerian Sumber Manusia Bersama Masyarakat di Dewan Masyarakat Tebedu di sini, semalam.

Riot menambah, ICQS Tebedu diyakini akan membolehkan kegiatan perdagangan yang lebih besar antara Sarawak dan Kalimantan Barat.

Tambah beliau dengan pengaktifan semula TIP tahun ini, ia tentunya akan membawa banyak manfaat kepada penduduk di Tebedu dan Sarawak secara keseluruhannya.

Pada masa ini, penghantaran kargo antara Pelabuhan Pontianak di Kalimantan Barat dan Pelabuhan Kuching mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk sampai tetapi dengan pengaktifan semula TIP, perjalanan itu dapat dipendekkan kepada hanya lima jam.

Persefahaman untuk membuka semula perdagangan rentas sempadan di Tebedu, Malaysia dan Entikong, Indonesia telah dicapai dalam Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Indonesia Ke-12 di Kuching tahun lepas.

TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!