03/04/2018 - MALAYSIA TIDAK BERDEPAN MASALAH PENGANGGURAN SERIUS
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
- Diterbitkan: Rabu, 04 April 2018 16:41
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 14703
MALAYSIA TIDAK BERDEPAN MASALAH PENGANGGURAN SERIUS
Bernama (Online) : 03/04/2018
KUALA LUMPUR, 3 Apr: Tahap pengangguran negara tidak pernah melebihi kadar 3.7 peratus iaitu tahap yang rendah sejak 2000 hingga 2017.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata ia membuktikan bahawa negara tidak berdepan masalah pengangguran serius sebaliknya menggunakan tenaga kerja penuh.
“Dalam tempoh hampir 20 tahun itu, secara keseluruhannya kadar pengangguran negara berada di bawah paras 3.5 peratus. Hanya pada 2003 sahaja kita berada pada tahap 3.6 peratus dan 3.7 peratus pada 2009.
“Peratusan itu membuktikan bahawa negara tidak berdepan masalah pengangguran serius dengan negara-negara yang berada pada tahap 4 peratus diklasifikasi sebagai negara berpengangguran,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata selain komited menangani pengangguran dalam kalangan graduan menerusi inisiatif seperti latihan berkemahiran tinggi, kerajaan juga serius membela nasib pekerja yang diberhentikan majikan.
Menurutnya kerajaan memperuntuk sejumlah RM122 juta bagi Skim Insurans Pekerjaan (SIP) supaya mereka yang berkenaan diberi ruang dan peluang mendapatkan pekerjaan baharu termasuk latihan kemahiran yang disediakan kementerian.–Bernama