20/03/2018 - 1,299 PUSAT BERTAULIAH LATIH PEKERJA MAHIR
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
- Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2018 03:59
- Ditulis oleh asyraff
- Jumlah paparan: 22152
1,299 Pusat Bertauliah latih pekerja mahir
Berita Harian (Online) : 20/03/2018
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,229 Pusat Bertauliah (PB) ditubuhkan bagi melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 sehingga 31 Januari lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata jumlah itu merangkumi 587 PB awam dan 642 PB swasta yang menyediakan pelbagai program kemahiran berpandukan kepada standard kemahiran pekerjaan kebangsaan.
"Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan sijil kemahiran yang dikeluarkan boleh diguna pakai dalam pelbagai sektor pekerjaan dalam negara.
"Sehingga kini sebanyak 1.7 juta sijil kemahiran sumber manusia dianugerahkan kepada pelatih yang berjaya menamatkan tauliah di PB masing-masing," katanya semasa menggulung ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, di sini, hari ini.
Richard Riot yang juga Ahli Parlimen Serian, berkata kementeriannya melalui Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia berjaya memberi latihan komprehensif melalui latihan kemahiran pra pekerjaan kepada pelajar lepasan sekolah secara sementara dan sepenuh masa.
"Berdasarkan pelbagai kursus ditawarkan dari peringkat sijil hingga diploma, bidang latihan yang di tawarkan meliputi pelbagai sektor penting dalam negara antaranya mekanikal, elektrikal, pengeluaran dan juga percetakan.
"Kita percaya dengan penekanan 70 peratus amali dan 30 peratus teori dalam latihan yang diberi, pelatih boleh menguasai bidang yang diceburi selepas tamat latihan," katanya.
Menurut Richard lagi, berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya dalam mengukur tahap kebolehpasaran graduan, sebanyak 91.3 peratus iaitu 9,263 pelatih berjaya menempah kerjaya dalam dalam sektor kemahiran dalam negara.
"Daripada jumlah itu pula, sebanyak 63 peratus pelatih bekerja dalam bidang yang dipelajari sekali gus membuktikan kebolehpasaran program latihan yang ditawarkan.
"Bagaimanapun, kita akan terus memantau dan memberi nasihat kepada pelatih bagi memastikan program latihan yang ditawarkan mengikut kehendak sektor," katanya.