15/03/2018 - RPEL penuhi sasaran 35 peratus pekerja mahir

RPEL penuhi sasaran 35 peratus pekerja mahir

Utusan Malaysia:15/03/2018

KUALA LUMPUR 15 Mac – Program Pengiktirafan Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (RPEL) anjuran Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) mampu memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai 35 peratus pekerja mahir di negara ini menjelang 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot Jaem berkata, program ini memberi latihan kepada pencari kerja bidang kemahiran, golongan pesara dan yang akan bersara terutamanya anggota tentera.

Malah, katanya, program ini setanding dengan program latihan yang dijalankan di negara-negara maju seperti England dan Australia.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian para graduan sijil tahap empat ini atau dipanggil diploma.

“Dengan diploma, kebolehpasaran pekerjaan akan ditingkatkan berbanding mengehadkan peluang mereka kepada pekerjaan seperti pemandu teksi, pemandu lori dan pengawal keselamatan,” katanya sewaktu berucap pada majlis graduasi RPEL di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 graduan sulung RPEL menerima diploma masing-masing hari ini.

Mereka adalah merupakan sebahagian daripada 7,328 pelatih yang diluluskan di bawah program itu di seluruh negara.

Para pelatih berkenaan terdiri daripada peserta Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

RPEL memberi pengiktirafan formal dan diploma untuk kemahiran, pengetahuan serta pengalaman teknikal dan pengurusan yang diperoleh daripada alam pekerjaan, pengalaman kehidupan atau pendidikan terdahulu para peserta. - UTUSAN ONLINE

 

 

TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!