16/01/2018 - SETUJU TUBUH MAJLIS TVET
- Kategori: Keratan Akhbar 2018
- Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 11:29
- Jumlah paparan: 29474
SETUJU TUBUH MAJLIS TVET
Berita Harian (Online) : 16/01/2018
CYBERJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia Peringkat Menteri di sini semalam bersetuju menubuhkan Majlis TVET yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata Majis TVET itu juga akan menjadi sebahagian daripada Majlis Modal Insan (MMI).
"Majlis TVET ini antara lain bertujuan menyelaras agenda-agenda kerajaan dalam melonjakkan TVET di negara ini.
"Ia akan dipengerusikan Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan.
Sementara itu, MMI sebagai majlis di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) berperanan dalam merancang pembangunan dan pengurusan sumber manusia negara.
Dalam pada itu Richard berkata, mesyuarat jawatankuasa hari ini menyaksikan penyertaan kesemua tujuh kementerian berkaitan TVET sekali gus mencerminkan komitmen mereka dalam memperkasa pendidikan berkenaan di negara ini.
"Komitmen ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam mempertingkatkan peratusan pekerja mahir negara kepada 35 peratus pada 2020 berbanding 28 peratus ketika ini.
"Mesyuarat ini juga satu manifestasi terhadap kesediaan semua pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam mengarusperdanakan TVET seperti yang pernah digariskan oleh Najib ketika pelancaran TVET Malaysia ketika membentangkan Bajet 2018 sebelum ini," katanya.
Terdahulu dalam ucapan aluan mesyuarat berkenaan, beliau mengumumkan pelantikan Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing sebagai Penasihat TVET Malaysia.
Katanya, pemilihan itu juga sebagai pengiktirafan sumbangan secara signifikan Kok Wing terhadap pembangunan TVET di negara in.
"Dengan pengenalan terhadap TVET Malaysia, sumbangan Kok Wing adalah semakin besar terutama dalam penjenamaan TVET Malaysia.
"Saya mengucapkan penghargaan kepada Kok Wing kerana dipilih sebagai Penasihat TVET Malaysia," katanya.