Tiada Kompromi Majikan Lakukan Diskriminasi
- Diterbitkan: Rabu, 15 November 2017 09:14
- Jumlah paparan: 47294
Tiada Kompromi Majikan Lakukan Diskriminasi
Sinar Harian (Nasional):14/11/2017
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia memberi amaran keras dan tiada berkompromi akan mengambil tindakan kepada majikan-majikan yang didapati melanggar hak-hak serta melakukan diskriminasi terhadap pekerja di negara ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, majikan sepatutnya lebih mengutamakan produktiviti dan prestasi syarikat berbanding mempertikaikan isu konsep pemakaian yang kononnya melanggar etika antarabangsa.
Jelas beliau, dalam etika berpakaian dalam kalangan pekerja, selagi mereka tidak memakai pakaian yang melanggar norma budaya, bangsa dan agama ia tidak perlu dipersoalkan oleh majikan apatah lagi dalam isu pemakaian tudung.
"Saya mahu memberi amaran kepada majikan dalam semua sektor samada awam atau swasta, jangan lakukan diskriminasi atau halangan kepada sesiapa yang ingin memakai tudung ke tempat kerja kerana ia langsung tidak melanggar mana-mana Akta Kerja 1955 (Akta 265) atau Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) .
"Utamakan produktiviti dan kemajuan syarikat, janganlah duduk sibuk pasal larangan pakai tudung atau tak," katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Ismail lagi, jika pekerja mendapati tertindas atau berlaku diskriminasi dalam isu pemakaian tudung ini, mereka boleh membuat aduan ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang berdekatan.
Kata beliau, kesatuan sekerja boleh membantu ahli-ahli yang menjadi mangsa penindasan itu dengan menyalurkan informasi dan laporan kepada pihak kementerian dan JTK.
"Jika ada pekerja wanita yang ditamatkan kerja sebab bertudung, laporkan kepada kita (JTK) dan kita akan siasat majikan tak bertanggungjawab itu.
"Tindakan boleh diambil mengikut Faerah Penamatan kerja dan faedah-faedah lain di bawah Akta Pekerja 1955 (Akta 265) atau representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967," katanya.
Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan majmuk kita sepatutnya tidak menjadikan isu ini sebagai satu polemik.
Katanya, Perlembagaan negara jelas mengenai hak rakyat untuk mengenakan pakaian mengikut kepercayaan agama mereka dan pihak lain kena menghormatinya.
"Jika keadaan diskriminasi ini terjadi ia oleh meresahkan sesama kaum. Jadi perlu adanya persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat untuk kesejahteraan negara," ujar beliau.
- Kategori: Keratan Akhbar 2017
130,000 Pekerja Mahir Dihantar Pulang
- Diterbitkan: Selasa, 14 November 2017 14:37
- Jumlah paparan: 33267
130,000 Pekerja Mahir Dihantar Pulang
Berita Harian (Online):14/11/2017
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menghantar pulang 130,000 pekerja asing mahir di pelbagai sektor bagi digantikan dengan pekerja mahir tempatan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib, berkata usaha berperingkat-peringkat itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi dan kementerian lain.
Beliau berkata, bagi meningkatkan tahap kemahiran dan kebolehpasaraan graduan dan pekerja tempatan, latihan kemahiran termasuk menerusi pelan induk Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan kerajaan.
"Sekarang ini kita ada jawatankuasa tertinggi di peringkat kerajaan yang sentiasa melihat (jumlah pekerja asing di Malaysia). Kalau dulu kita ada dua juta pekerja asing, hari ini tinggal 1.7 juta.
"Usaha ini dibuat bagi membolehkan pekerja asing dikembalikan. Seramai 130,000 pekerja asing mahir akan dikembalikan dan diambil oleh pekerja tempatan dan secara langsung pekerja tempatan akan memperoleh pendapatan lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Stephen Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengetepikan nasib pekerja tempatan dan sentiasa mencari ruang bagi membolehkan pendapatan mereka dinaikkan pada tahap maksimum.
"Percayalah, kerajaan tidak pernah memberikan ruang yang boleh merosakkan masa depan pekerja dan penduduk di negara kita," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Ismail menjelaskan kerajaan sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengembalikan kebolehpasaran wanita untuk bekerja dari rumah.
"Kita mahu cungkil bakat wanita ini supaya mereka juga boleh bekerja dari rumah sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.
- Kategori: Keratan Akhbar 2017
11/11/2017- Tahniah!
- Diterbitkan: Isnin, 13 November 2017 14:36
- Jumlah paparan: 48030
Tahniah!
Harian Metro (Online) : 11/11/2017
PANGLIMA Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin mengetuai senarai 624 penerima darjah kebesaran, pingat, bintang dan jaksa pendamai sempena Hari Keputeraan Ke-48 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, Kota Bharu hari ini.
Azizan menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.
Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada tiga penerima diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Seri Alias Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Nik Kazim Nik Yusoof.
Dua penerima bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Kompleks Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid.
Seramai enam penerima bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk Mohamad Awang dan Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Wan Hassan Wan Muhammad.
Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) membawa gelaran Datuk membabitkan seramai tujuh penerima termasuk Panglima Markas 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar, Panglima Markas Briged Artileri Roket Brigediar Jeneral Wee Han Siew dan Panglima 8 Bridged Brigediar Jeneral Nazari Abd Hadi.
Selain itu, seramai 12 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) membawa gelaran Datuk termasuk Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Syed Md Hasrin Tengku Hussin@Syed Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Dr Mohd Gazali Abas dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Yahya Mamat.
Lapan penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) membawa gelaran Datuk antaranya Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/ Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, Pengarah Kastam Kelantan Mohd Nasir Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Din Ahmad.
Dalam pada itu, 191 penerima bintang termasuk Ketua Biro Berita Harian Kelantan, Anwar Aminuddin Mat Hussin yang menerima Bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK).
Selain itu, seramai 193 penerima pingat termasuk wartawan sambilan Harian Metro Kelantan, Rosliza Mohamed yang menerima Pingat Setia Mahkota Kelantan (PS).
- Kategori: Keratan Akhbar 2017
11/11/2017- Bantu Hingga Dapat Kerja
- Diterbitkan: Isnin, 13 November 2017 14:39
- Jumlah paparan: 33361
Bantu Hingga Dapat Kerja
Sinar Harian (Online):11/11/2017
PASIR MAS - Kementerian Sumber Manusia akan membantu 80 keluarga terpilih di negeri ini menerusi Program Bantuan Keluarga Miskin Negeri Kelantan.
Ketua Setiausahanya, Dr Mohd Ghazali Abas berkata, bantuan itu merangkumi kerja membaik pulih rumah dan keperluan untuk memastikan keluarga terlibat menjalani kehidupan lebih selesa.
“Bukan itu sahaja, kementerian turut memfokuskan bantuan kepada generasi kedua dengan menyediakan latihan kemahiran.
“Kita akan bekerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) bagi membantu menyediakan latihan kemahiran anak-anak keluarga terlibat,” katanya pada Program Bantuan Keluarga Miskin Negeri Kelantan, semalam.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Wan Zulkifli Wan Setapa.
Pada program itu, Mohd Ghazali sempat melawat tiga rumah di Kampung Landar dan menyampaikan sumbangan keperluan harian dan wang tunai.
Menurutnya, keluarga yang menerima bantuan itu berada dalam senarai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.
"Bantuan diberikan Kementerian Sumber Manusia ini bukan one off tetapi secara berterusan bermula sekarang sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan," katanya.
Penerima, Zawiah Ismail, 42, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih atas bantuan diberikan.
“Kami hidup dalam serba kekurangan, rumah ini usang dengan atap bocor serta dinding rumah mula reput.
“Kunjungan ini amat bermakna buat kami, sebelum ini kami tak pernah terima apa-apa bantuan,” katanya.
- Kategori: Keratan Akhbar 2017
11/11/2017- 'Nilai Rendah Tanpa Alasan Munasabah Satu Penderaan'
- Diterbitkan: Isnin, 13 November 2017 14:33
- Jumlah paparan: 44558
'Nilai Rendah Tanpa Alasan Munasabah Satu Penderaan'
Sinar Harian (Online) : 11/11/2017
SHAH ALAM - Bukan hanya majikan, malah pegawai penilai yang memberi markah rendah tanpa alasan munasabah disarankan supaya dikenakan tindakan oleh kerajaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, tindakan itu boleh memberikan tekanan kepada pekerja bawahan.
“Kami pernah bertemu dengan mereka yang diberikan markah penilaian prestasi rendah dan mereka adukan tentang perkara ini. Pihak atasan letakkan pekerja kelas bawah dalam keadaan tertekan.
“Mereka tidak mengambil kira situasi dan keadaan semasa pekerja bawahan. Kalau buat silap sikit terus dapat markah rendah dalam prestasi,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Menyifatkan ia sebagai suatu kaedah baharu untuk ‘mendera’ pekerja katanya, pegawai yang mempunyai kuasa memberi penilaian sering menjadikan markah prestasi sebagai ugutan kepada pekerja.
“Kumpulan pekerja bawahan kebiasaannya dipantau habis-habisan. Pihak atasan tetap tidak kira susah payah pekerja bawahan.
“Kadangkala pihak atasan atau pegawai buat silap lagi teruk tapi tidak diambil tindakan. Ini penderaan mental kepada penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, ‘budaya’ seumpama itu tidak dapat mewujudkan keharomonian antara pegawai dan pekerja bawahan.
“Kerajaan patut ambil tindakan terhadap pegawai yang memberikan markah prestasi rendah kepada kakitangan tanpa alasan kukuh.
“Manakala pekerja yang diberikan penilaian rendah perlu dinilai semula oleh pegawai penilai baharu,” katanya.
Sinar Online sebelum ini melaporkan kerajaan akan mengenakan tindakan ke atas majikan yang memberikan tekanan kepada pekerjanya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap perkara tersebut, selain menegaskan untuk menjalankan siasatan termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak menghargai pekerja mereka.
- Kategori: Keratan Akhbar 2017
Halaman 3 dari 4