Jumlah Pekerja Asing Menurun

Jumlah Pekerja Asing Menurun

Sinar Harian (Online) : 28/11/2017

KUALA LUMPUR - Jumlah pekerja asing di Malaysia telah menurun, dari tahun 2015 hingga 2017.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jumlah pekerja asing pada 2015 adalah 2.1 juta orang.

"Namun, ianya (jumlah pekerja asing) berkurang kepada 1.8 juta orang pada 2016. Kalau kita lihat kepada pas pekerja imigresen, jumlah pekerja asing sehingga September 2017 adalah 1.7 juta orang.

"Penurunan pekerja asing ini berlaku disebabkan oleh dasar dan langkah kerajaan, iaitu pengambilan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus (tenaga kerja dalam negara), sepertimana dalam sasaran Rancangan Malaysia Kesebelas," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin-BN) yang meminta kerajaan untuk menyatakan langkah yang telah dibuat untuk mengurangkan pekerja asing dan mengurangkan kadar pengganguran dalam negara.

Menurut Ismail, kadar pengangguran negara mengikut statistik Jabatan Perangkaan adalah 3.4 peratus bersamaan dengan 511,600 orang pada suku kedua tahun ini.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

"Kerajaan sedang mempromosikan program penempatan pekerja yang dikelolakan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan mengalakkan sektor berintensif buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi.

"Kerajaan juga telah memperkenalkan dasar TVET negara dan memperkenalkan nisbah pekerja, iaitu nisbah pekerja tempatan kepada pekerja asing. Seperti contoh, sesebuah ladang kelapa sawit yang berkeluasan lapan hektar, hanya satu pekerja asing sahaja yang boleh diambil," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan tidak sewenang-wenangnya meluluskan pemgambilan pekerja asing sekiranya dipohon pihak majikan dengan perkara ini terbukti apabila kerajaan hanya meluluskan 215,000 permohonan pekerja asing daripada 332,224 permohonan yang diterima dalam sektor perkilangan.

Majikan tak boleh berhentikan pekerja serta merta

Majikan tak boleh berhentikan pekerja serta merta

Berita Harian Online (Nasional) : 23/11/2017

KUALA LUMPUR: Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja secara serta merta jika syarikat menghadapi masalah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, berkata majikan juga tidak boleh memberhentikan pekerja tempatan untuk membolehkan pengambilan pekerja asing kerana ia jelas melanggar undang-undang.

Katanya, di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265), pekerja juga boleh menuntut haknya apabila diberhentikan oleh majikan.

"Terdapat beberapa perlindungan asas yang diberikan kepada pekerja yang diberhentikan secara tiba-tiba, antaranya, majikan hendaklah memberikan tempoh notis atau membayar gaji ganti notis mencukupi mengikut kontrak perkhidmatan, namun tidak kurang daripada yang ditetapkan di bawah seksyen 12 (2) Akta Kerja.

"Majikan juga diwajibkan membayar faedah pemberhentian kerja mengikut kontrak perkhidmatan tetapi tidak boleh kurang dari kadar yang ditetapkan dalam peraturan kerja, faedah penamatan dan henti kerja sementara 1980," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) yang membangkitkan kebimbangan banyak pemberhentian pekerja oleh majikan sejak kebelakangan ini, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya majikan mahu membuat pemberhentian, pekerja asing perlu diberhentikan terlebih dulu, sebelum pekerja tempatan.

 

Sepakat Buat Kelas Di Parlimen

Sepakat Buat Kelas Di Parlimen

Sinar Harian (Online) : 22/11/2017

SHAH ALAM - Lebih 300 graduan termasuk ahli politik dan pemimpin menjadi penerima ijazah sarjana dan doktor falsafah pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-30 yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah, UUM, Sintok, Kedah bermula 18 November sehingga hari ini.

Antara ahli politik dan pemimpin yang menerima skrol pada majlis konvokesyen kali ini ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang menerima Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Pembangunan, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah (Ijazah Sarjana Pengurusan Awam) dan bekas ahli Dewan Negara, Datuk Muhammad Olian Abdullah yang juga penerima Ijazah Sarjana Pengurusan Awam.

Selain itu, Adun Serom, Abdul Razak Minhat turut menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan, manakala Ahli Parlimen Kangar, Shaharuddin Ismail menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Awam.

Sementara itu, Ismail menyifatkan kejayaan beliau kerana bimbingan beberapa profesor serta pensyarah dari UUM sendiri.

Beliau berkata, inisiatifnya bersama kira-kira 20 sahabat ahli parlimen lain mewujudkan kelas di Parlimen turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.

"Kami sepakat tubuhkan jawatankuasa, bentuk kelas di sini, undang pensyarah-pensyarah UUM untuk datang mengajar serta kumpul perbelanjaan untuk biayai pendidikan yang dilalui.

"Alhamdulillah, hasilnya sangat baik. Saya bangga bila dapat membuktikan kepada diri sendiri dan masyarakat bahawa ilmu itu boleh dicari di mana-mana sahaja selagi hayat masih ada," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, menyambung pengajian atau belajar ke peringkat yang lebih tinggi juga merupakan satu kepentingan buat ahli politik serta pemimpin khususnya.

"Apabila kita berada di dunia pendidikan dan menambah ilmu pengetahuan ini, kita bukan sahaja mengimbangi tanggungjawab sebagai ahli parlimen tetapi masyarakat...Malah ia akan membantu kita menangani pelbagai cabaran.

"Setiap hari kita berdepan dengan emosi, suasana serta masyarakat yang berbeza dan dengan ilmu yang tinggi ini membuatkan saya lebih selesa untuk menjalankan kewajipan dengan penuh tanggungjawab bukan saja sebagai ahli politik tapi sebagai seorang manusia dan sesama masyarakat," katanya.

 

1,000 OKU Kunjungi Karnival Kerjaya & Produk Inovasi

1,000 OKU Kunjungi Karnival Kerjaya & Produk Inovasi

Bernama Online (AM) : 22/11/2017

PUTRAJAYA – Seramai 1,000 orang kurang upaya (OKU) dijangka mengunjungi Karnival Kerjaya Kemahiran dan Produk Inovasi OKU 2017 pada Jumaat ini di Hotel Aloft, Kuala Lumpur Sentral.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini berkata karnival yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu melibatkan penyertaan 25 majikan dan 30 pempamer produk latihan dan kemahiran.

Karnival yang akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Datuk Mohd Jeffrey Joakim bertujuan mempromosi peranan dan tanggungjawab KSM sebagai peneraju sokongan pekerjaan dan latihan kemahiran.

“KSM berharap program ini berjaya dan mendapat sambutan baik daripada semua pihak khususnya dengan kehadiran golongan OKU daripada pelbagai kategori dan umur yang akan didedahkan dengan peluang pekerjaan, latihan kemahiran bersesuaian dan produk-produk inovasi sokongan pekerjaan yang terkini,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai karnival itu boleh didapati di portal www.mohr.gov.my atau menghubungi urus setia karnival di talian 03-8886 5143/5144/5145.

Menurut KSM, perkhidmatan kenderaan shuttle (kereta dan bas) turut disediakan dari bangunan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields berdekatan stesen Monorail Tun Sambanthan ke Hotel Aloft bermula 7.30 pagi sepanjang penganjuran karnival itu.

– BERNAMA

Indeks Gaji Kebangsaan bakal diwujudkan

Indeks Gaji Kebangsaan bakal diwujudkan

Utusan (Online) : 18/11/2017

PUTRAJAYA 18 Nov. – Kementerian Sumber Manusia melalui Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia) sedang menjalankan kajian bagi membangunkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) yang pertama.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, NWI akan mengukur perubahan upah dan gaji dalam pasaran buruh Malaysia sebagaimana indeks harga pengguna (CPI) yang mengukur harga barang dan perkhidmatan dalam ekonomi negara.

“Antara kegunaan utama NWI adalah majikan dan pelabur boleh menggunakannya sebagai panduan bagi merangka struktur gaji, tahap gaji dan pelarasan gaji serta input kepada dasar-dasar sumber manusia.

“Perubahan setiap suku tahun dan kira-ki Pekerja dan pencari kerja juga boleh menggunakan NWI sebagai penanda aras nilai pasaran mereka dan menilai kenaikan gaji sepanjang kerjaya mereka,” katanya dalam satu ke­nya­taan di sini hari ini.

Selain itu katanya, kerajaan sebagai pembuat dasar boleh menggunakan NWI untuk memantau perubahan gaji dalam ekonomi sebagai input untuk penetapan gaji serta bagi semakan gaji minimum dan input dasar.

Menurut Richard, kajian NWI adalah berdasarkan kaji selidik 3,000 syarikat sektor swasta daripada semua sektor dipilih secara rawak dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Gaji dan upah pekerja sepenuh masa dalam semua kategori pekerjaan daripada pengurus sehingga pekerja am diperlukan untuk pembangunan NWI, data mengenai gaji dan upah kakitangan perkhidmatan awam juga diperlukan,” katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 169 jenis pekerjaan di Malaysia telah dipilih dan akan digunakan untuk membentuk indeks yang mewakili pekerjaan-pekerjaan utama di Malaysia.

Katanya, tempoh rujukan bagi kajian yang pertama adalah bermula September lalu dengan diikuti kaji selidik setiap suku tahun selepasnya iaitu Disember ini, Mac 2017 dan Jun 2017.

“Kementerian berharap semua majikan terpilih termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) akan memberi kerjasama untuk menyediakan data gaji dan upah yang diperlukan kerana ia adalah penting untuk perancangan pembangunan negara,” jelas beliau.

TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!