Tiada Kompromi Majikan Lakukan Diskriminasi
- Kategori: Keratan Akhbar 2017
- Diterbitkan: Rabu, 15 November 2017 09:14
- Jumlah paparan: 47294
Tiada Kompromi Majikan Lakukan Diskriminasi
Sinar Harian (Nasional):14/11/2017
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia memberi amaran keras dan tiada berkompromi akan mengambil tindakan kepada majikan-majikan yang didapati melanggar hak-hak serta melakukan diskriminasi terhadap pekerja di negara ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, majikan sepatutnya lebih mengutamakan produktiviti dan prestasi syarikat berbanding mempertikaikan isu konsep pemakaian yang kononnya melanggar etika antarabangsa.
Jelas beliau, dalam etika berpakaian dalam kalangan pekerja, selagi mereka tidak memakai pakaian yang melanggar norma budaya, bangsa dan agama ia tidak perlu dipersoalkan oleh majikan apatah lagi dalam isu pemakaian tudung.
"Saya mahu memberi amaran kepada majikan dalam semua sektor samada awam atau swasta, jangan lakukan diskriminasi atau halangan kepada sesiapa yang ingin memakai tudung ke tempat kerja kerana ia langsung tidak melanggar mana-mana Akta Kerja 1955 (Akta 265) atau Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) .
"Utamakan produktiviti dan kemajuan syarikat, janganlah duduk sibuk pasal larangan pakai tudung atau tak," katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Ismail lagi, jika pekerja mendapati tertindas atau berlaku diskriminasi dalam isu pemakaian tudung ini, mereka boleh membuat aduan ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang berdekatan.
Kata beliau, kesatuan sekerja boleh membantu ahli-ahli yang menjadi mangsa penindasan itu dengan menyalurkan informasi dan laporan kepada pihak kementerian dan JTK.
"Jika ada pekerja wanita yang ditamatkan kerja sebab bertudung, laporkan kepada kita (JTK) dan kita akan siasat majikan tak bertanggungjawab itu.
"Tindakan boleh diambil mengikut Faerah Penamatan kerja dan faedah-faedah lain di bawah Akta Pekerja 1955 (Akta 265) atau representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967," katanya.
Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan majmuk kita sepatutnya tidak menjadikan isu ini sebagai satu polemik.
Katanya, Perlembagaan negara jelas mengenai hak rakyat untuk mengenakan pakaian mengikut kepercayaan agama mereka dan pihak lain kena menghormatinya.
"Jika keadaan diskriminasi ini terjadi ia oleh meresahkan sesama kaum. Jadi perlu adanya persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat untuk kesejahteraan negara," ujar beliau.