28/12/2017- Majikan Wajib Tandatangani Aku Janji, Bayar Levi

Majikan Wajib Tandatangani Aku Janji, Bayar Levi

Bernama (Am) : 28/12/2017

PUTRAJAYA: Majikan yang diberi perakuan untuk menggaji pekerja asing adalah diwajibkan untuk menandatangani 'Aku Janji Majikan' dan menanggung kos bayaran levi sepenuhnya bagi penggajian setiap pekerja asing, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Dengan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata sejak 1 Februari tahun ini, sebanyak 5,687 majikan daripada pelbagai sektor sudah menandatangani Aku Janji Majikan yang membabitkan penggajian seramai 160,131 orang pekerja asing baharu.

"Hingga 19 Disember tahun ini, beliau berkata sebanyak 522 orang majikan membabitkan 11,514 orang pekerja asing baharu telah mendapat perakuan untuk menggajikan pekerja asing tetapi masih belum menandatangani Aku Janji Majikan.

"Mereka juga dikehendaki berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan.

Riot berkata, keputusan kerajaan mewajibkan para majikan untuk menanggung kos bayaran levi dan ia turut terpakai ke atas semua majikan yang menggaji pekerja asing sebelum 1 Februari 2017.

Sejak 25 Mac 2016, beliau berkata, kerajaan memutuskan bahawa bayaran levi bagi setiap pekerja asing yang digajikan di pelbagai sektor ekonomi akan dibiayai oleh majikan sepenuhnya.

Katanya, penetapan ini yang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini telah ditangguhkan kepada 1 Januari depan ekoran rayuan daripada pelbagai kesatuan majikan.

"Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan bayaran levi penggajian pekerja asing telah menyediakan platform masa selama satu setengah tahun untuk membuat persediaan yang sewajarnya dalam memenuhi penetapan baharu ini," katanya.

- BERNAMA

 

18/12/2017 - Talian Hayat' Hilang Kerja

' Talian Hayat ' Hilang Kerja

Harian Metro (Online) : 18/12/2017

Kuching: Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang bakal dilaksanakan Januari tahun depan memberi manfaat kepada pekerja yang kehilangan kerja menyara kehidupan, sementara mencari pekerjaan baru.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, SIP membolehkan pekerja kehilangan kerja menerima elaun tunai yang secara tidak langsung mengurangkan bebanan sementara memperoleh pekerjaan baru.

Menurutnya, majikan akan membayar caruman (SIP) sebanyak 0.2 peratus manakala pekerja juga 0.2 peratus jadi keseluruhan caruman terbabit ialah 0.4 peratus daripada gaji pekerja.

“SIP akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya majikan. Namun, ia tetap dilaksanakan bagi menjamin kehidupan pekerja terbela sementara memperoleh pekerjaan baru.

“Manfaat yang diterima pekerja ini adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan nasib golongan ini terbela seterusnya memastikan mereka yang tidak mempunyai simpanan boleh menggunakan caruman ini,” katanya dalam Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedeh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2017, di sini.

Pada majlis itu, Riot menyerahkan cek kepada enam penerima bayaran faedah tunai keseluruhan bernilai RM110,146.07 termasuk peralatan pemulihan kepada empat penerima.

Riot berkata, Kerajaan Pusat juga memperuntukan RM122 juta kepada PERKESO bagi memulakan SIP tahun depan apabila pekerja yang kehilangan pekerjaan pada 2018 akan menerima faedah interim elaun tunai bagi tempoh tiga bulan.

“Kementerian menjangkakan pembayaran faedah SIP sepenuhnya akan dapat diberikan PERKESO dalam dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari 2019,” katanya.

13/12/2017 - Majikan Disiasat Jika Pecat Pekerja Cuti Bersalin 90 Hari

Majikan Disiasat Jika Pecat Pekerja Cuti Bersalin 90 Hari

Malay Mail (Online) : 13/12/2017

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Majikan di sektor swasta boleh disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya memberhentikan pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa rakyat atau individu mempunyai hak sama rata dalam mengamalkan  kehidupan termasuk alam pekerjaan. 

“Walaupun masih tiada klausa khusus menyatakan (majikan swasta tidak boleh berhentikan pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari), kita harus pegang undang-undang utama iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Majikan tidak boleh memberhentikan pekerja wanita hamil, mereka telah memberi banyak sumbangan dan majikan pula hidup dibantu pekerja sendiri.

“Sekiranya ada berlaku tindakan majikan memberhentikan pekerja wanita kerana mengambil cuti 90 hari, laporkan perkara itu dan kementerian akan melakukan siasatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas mengumunkan cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari seperti yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

Ismail berkata cadangan cuti bersalin 90 hari dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pertama melibatkan sesi libat urus dengan mendapat pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Fasa kedua pula ialah dengan melakukan pindaan ke atas Seksyen 37 Akta Kerja 1995, Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah Bab 67 dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak Bab 76, katanya. —  Bernama

16/12/2017 - Sistem Insurans Pekerjaan Dijangka Dilaksana Januari Ini

Sistem Insurans Pekerjaan Dijangka Dilaksana Januari Ini

Bernama (Am) : 16/12/2017

KUCHING, 16 Dis (Bernama) -- Sistem Insurans Pekerjaaan (SIP) dijangka dilaksanakan Januari ini sebaik diluluskan Dewan Negara dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Beliau berkata Rang Undang-undang SIP akan dibentang di Dewan Negara pada Isnin ini.

Walaupun SIP ditentang oleh kebanyakan majikan, skim tersebut perlu untuk memastikan jaringan keselamatan sosial pekerja yang diberhentikan terus terjamin, katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas bersama Penerima Faedah Perkeso 2017, di sini hari ini.

Penguatkuasaan SIP akan memastikan pekerja sektor swasta yang diberhentikan menerima bantuan kewangan sementara sehingga enam bulan.

Riot berkata SIP menuntut caruman 0.2 peratus daripada gaji pekerja serta 0.2 peratus lagi daripada majikan dengan pembayaran faedah kepada yang layak dijangka dilaksanakan mulai Januari 2019.

Bagaimanapun, katanya pekerja yang kehilangan pekerjaaan pada 2018 layak untuk menerima faedah interim dalam bentuk elaun tunai bagi tempoh maksimum tiga bulan.

"Faedah interim ini dibiayai oleh kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM122 juta yang disalurkan kepada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial)," kata Riot.

Katanya rekod Jabatan Buruh menunjukkan hampir 18,000 pekerja Malaysia diberhentikan tahun ini setakat ini.

Riot berkata SIP yang digunakan di Malaysia adalah berdasarkan skim insurans yang dilaksanakan di Korea Selatan.

Sementara itu, Riot berkata bagi tempoh berakhir September 2017, Perkeso Sarawak telah membelanjakan RM19.51 juta untuk membayar pelbagai jenis faedah melibatkan 2,555 kes.

Bilangan majikan yang aktif mencarum di Sarawak pula ialah 37,007 setakat September lalu berbanding 36,680 majikan pada 2016, manakala bilangan pekerja aktif yang dilindungi bagi tempoh sama ialah 453,102 orang berbanding 470,694 orang pada 2016, katanya.

"Caruman yang dikutip bagi negeri Sarawak bagi tahun ini sehingga 30 Nov ialah sebanyak RM6.5 juta," katanya.

Pada majlis hari ini Riot menyerahkan cek kepada enam penerima yang layak dengan keseluruhan bayaran faedah tunai berjumlah RM110,146.07 termasuk pembekalan peralatan pemulihan kepada empat penerima faedah Perkeso.

--BERNAMA

07/12/2017 - Revolusi Industri 4.0 Mampu Wujudkan 1.5 Juta Peluang Kerja

Revolusi Industri 4.0 Mampu Wujudkan 1.5 Juta Peluang Kerja

Bernama Online (AM): 07/12/2017

SHAH ALAM – Gelombang Revolusi IIndustri Keempat (IR 4.0) mampu mewujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan dengan 60 peratus daripadanya memerlukan khidmat tenaga kerja berkemahiran, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Beliau berkata disebabkan itu,rakyat harus sedar bahawa keperluan seorang pekerja untuk mempunyai kemahiran dan meningkatkannya dalam jangka panjang adalah amat penting bagi merebut pelbagai tawaran pekerjaan yang telah dan akan tersedia menerusi IR 4.0.

Riot berkata setakat ini, sektor tenaga kerja mahir negara baharu mencapai tahap 31 peratus berbanding sasaran kerajaan untuk meraih sekurang-kurangnya 35 peratus pekerja berkemahiran menjelang tahun 2020.

“Sasaran berkenaan adalah sebagai landasan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Disebabkan itu, kita amat menekankan cara membangunkan modal insan menerusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, beberapa sektor di negara ini dilihat masih ketinggalan kerana mengamalkan ‘cara lama’ berbanding  di negara-negara ASEAN lain yang telah mula menerimapakai teknologi digital, robotik dan automasi seiring dengan IR4.0.

Terdahulu, Riot menyampaikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga kepada 100 peserta terdiri daripada kakitangan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) dalam satu majlis graduasi di Pusat Kecemerlangan Proton, di sini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!