M E M U A T K A N

Hari Pekerja 2024

Utama Hari Pekerja 2024
Kementerian Sumber Manusia

HARI PEKERJA 2024

Tanggal 1 Mei setiap tahun merupakan tarikh yang amat sinonim dan bermakna bagi kesemua pekerja di Malaysia kerana ianya merupakan cuti khas bagi golongan pekerja. Tidak kiralah kita sebagai pekerja di sektor awam, sektor swasta mahupun bekerja sendiri. Ianya tetap menjadi faktor penyumbang kepada kemajuan negara.

Sambutan Hari Pekerja 2024 akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang akan dihadiri oleh lebih daripada 3,000 pekerja yang terdiri dari kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

YAB Perdana Menteri Malaysia akan menyampaikan beberapa Anugerah Hari Pekerja pada perhimpunan tersebut sebagai usaha menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara. Pada tahun ini, 12 Anugerah akan dikurniakan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen. Selain menyampaikan anugerah, YAB Perdana Menteri juga akan melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia 2030.

Beberapa aktiviti sempena Hari Pekerja turut dirancang seperti 4 Siri Pocket Talk, Larian Hari Pekerja, Perhimpunan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan, Khutbah Jumaat, Forum Perdana dan Karnival Kerjaya yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dan pameran jabatan dan agensi kerajaan. Program-program ini anjurkan untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan, peluang pekerjaan serta kursus kemahiran teknikal yang ditawarkan kepada anak-anak muda.

Tema Hari Pekerja Tahun 2024 ialah ”PEKERJA KESUMA BANGSA” dan Logo Hari Pekerja 2024 bertepatan dengan penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA.

Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama disamping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.