SEGAMAT: Semua kontraktor pengambilan pekerja bagi sektor perladangan dalam negara kini perlu mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia, kata menterinya Datuk Dr S Subramaniam.
Beliau berkata, mereka juga perlu menyediakan segala maklumat terperinci seperti caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso buat setiap pekerja yang diambil, sebagaimana yang dikhendaki di bawah Akta Buruh dan Akta Kerja.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Segamat berkata ketika ini 40 peratus daripada pekerja perladangan yang berkhidmat dengan kontraktor yang dilantik oleh pihak pengurusan ladang bagi mendapatkan pekerja itu adalah warga tempatan.
Menurut beliau pihaknya ada menerima beberapa laporan mengenai masalah gaji yang dialami oleh pekerja ladang yang diambil berkerja oleh kontraktor itu, disamping caruman dengan KWSP dan Perkeso yang tidak dibuat.
“Kami menerima laporan bahawa gaji yang diterima oleh pekerja itu adalah tidak sama, atau lebih rendah berbanding pekerja yang diambil secara terus oleh pihak pengurusan ladang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mini karnival pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja, di sini.
Subramaniam berkata, kementerian itu juga akan meningkatkan pemantauan di ladang untuk memastikan semua pekerja diberikan gaji yang munasabah dan syarat pekerjaan mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
“Pihak kementerian akan terus meningkatkan pemantauan di ladang-ladang bagi memastikan pekerja di sektor perladangan tidak dianiaya oleh mana-mana pihak,” katanya. - Bernama
| < Prev | Next > |
|---|























Visitor Statistics | Currently Online : 84 |