UCAPTAMA TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA
YG. BERBAHAGIA DATO’ NORAINI BT. AHMAD
DI SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN WANITA DI TEMPAT KERJA
PADA 7 JULAI 2008 DI PWTC, KUALA LUMPUR
TAJUK: KESELAMATAN DAN KESIHATAN WANITA DI TEMPAT KERJA
Tuan-tuan dan Puan-puan
Pengamal-pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di seluruh dunia telah sedia maklum bahawa kemalangan dan penyakit di tempat kerja bukan sahaja memberi kesan negatif secara langsung kepada kehidupan harian seseorang pekerja dan keluarga mereka, tetapi ianya juga berkemungkinan akan mengganggu peluang kerjaya pekerja tersebut di masa hadapan. Di samping itu kemalangan dan penyakit pekerjaan juga akan memberi kesan negatif kepada produktiviti dan keuntungan syarikat. Seterusnya ianya akan juga menimbulkan masalah social dan kebajikan ke atas masyarakat yang terlibat. Secara ringkasnya, dengan mengekalkan tahap keselamatan dan kesihatan yang baik di tempat kerja akan memberi impak positif ke atas “performance” syarikat berkenaan. Kejayaan untuk mencapai dan mengekalkan tahap KKP ini juga merupakan satu pendekatan perniagaan (business) yang tepat, kerana usaha ini akan dapat mengurangkan kemalangan dan seterusnya mengekalkan modal insan yang mahir yang diperlukan bagi mempastikan kemajuan dan kejayaan syarikat. Syarikat-syarikat yang maju dan untung akan memberi kesan positif kepada negara dalam bentuk pembayaran cukai dan menyediakan peluang pekerjaan. Oleh itu, mengekalkan tahap KKP ke tahap yang boleh diterima (acceptable level) adalah dilihat mempunyai hubungkait dan komponen yang mustahak dalam pembangunan masyarakat, penghapusan kemiskinan dan decent work.
Decent Work adalah peluang kepada calun pekerja (wanita atau lelaki) untuk mendapat kerja dalam suasana yang bebas tanpa apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak, saksama, selamat dan dilayan dan dihormati sebagai manusia . Menurut International Labour Organization ILO, Decent Work melibatkan peluang untuk bekerja secara produktif dan mendapat upah atau gaji yang berpatutan, keselamatan yang terjamin di tempat kerja dan kebajikan kepada keluarga telah diambilkira, prospek untuk pembangunan dan kemajuan peribadi dan integrasi sosial, kebebasan untuk memberi pendapat dan menyatakan keresahan mereka, peluang untuk menentukan halatuju diri dengan cara mengambil bahagian dalam membuat keputusan berkaitan isu yang akan memberi kesan kepada kehidupan mereka dan seterusnya diberikan peluang dan layanan yang saksama kepada semua wanita dan lelaki.
Kementerian Sumber Manusia menjadikan decent work sebagai platform untuk strategi Kementerian dalam membangunkan modal insan di Malaysia. Dimana salah satu dari komponen decent work adalah melaksanakan “praktis dan dinamik” dalam mempastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Tujuan utamanya adalah untuk menjadikan tempat kerja sebagai tempat yang selamat untuk bekerja, tanpa hazard (samada physical hazard atau health hazard). Saya percaya bahawa kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan boleh di cegah, di mana pelbagai usaha dan “initiatives” perlu dijalankan di semua peringkat, samada di peringkat tempat kerja itu sendiri, peringkat zon/wilayah, peringkat kebangsaan dan seterusnya di peringkat antarabangsa.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Statistik pada tahun 2007 menunjukkan bilangan pekerja di Malaysia adalah seramai10,889,500 orang dimana 6,747,100 atau 62 peratus adalah lelaki dan 3,791,000 atau 38 peratus adalah wanita. Adalah didapati sector-sektor dimana ramai pekerja wanita bekerja adalah di sektor pembuatan, di ikuti perdagangan borong dan runcit , pendidikan dan pertanian. Di beberapa sector, sector pendidikan dan kesihatan dan kerja-kerja kebajikan, adalah didapati bilangan pekerja wanita adalah melebihi bilangan pekerja lelaki. Oleh kerana, sector-sektor yang dinyatakan tadi adalah penting, menunjukkan bahawa sumbangan wanita di dalam pembangunan negara, tidak boleh dinafikan. Persoalannya, apakah keselamatan dan kesihatan wanita di tempat kerja telah di berikan perhatian sewajarnya? Pendekatan yang digunapakai selama ini adalah penggunaan “standard” yang sama untuk lelaki dan wanita. Pendekatan ini dilihat, mungkin kurang sesuai kepada ramai wanita dalam pasaran pekerjaan pada hari ini. Oleh itu kajian mengenai penglibatan wanita di alam pekerjaan, terutama di sector yang memerlukan tenaga ‘physical’ yang boleh memberi kesan kepada kesihatan wanita berkenaan di tempat kerja adalah mustahak dan perlu dijalankan segera. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap wanita mempunyai tiga tangung-jawab yang perlu dipikul, iaitu sebagai seorang isteri dan ibu dan sebagai pekerja. Setiap tanggung-jawab ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi tenaga dan perasaan. Pekerja wanita perlu mengimbangkan ketiga-tiga tanggung-jawab ini dan perlu melakukannya dengan cemerlang. Sesuatu yang berlaku di dalam rumah tangganya, di luar waktu bekerja, berkemungkinan besar, boleh memberi kesan kepada dirinya semasa bekerja dan begitu juga sebaliknya. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada keselamatan dan kesihatan pekerja wanita tersebut semasa bekerja. Sebagai contoh pekerja perlu melakukan kerja-kerja rumah dan melayan anak dan suami akan merasa letih apabila pergi bekerja. Kemalangan boleh berlaku di sebabkan pekerja yang keletihan yang tidak focus dalam menjalankan kerjanya. Setakat ini, siasatan kemalangan hanya tertumpu kepada isu-isu di tempat kerja sahaja dan punca sebenar kejadian di sebabkan keletihan semasa di rumah tidak diberi perhatian.
Bilangan pekerja wanita di seluruh dunia yang memasuki sektor pembuatan dan perkhidmatan telah bertambah. Dalam masa 15 tahun, peratusannya telah meningkat kepada 50 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di kebanyakkan negara. Walaupun wanita telah memasuki bidang pekerjaan yang dahulunya tidak berpeluang saperti kejuruteraan dan kerja teknikal, tetapi labour market masih berdasarkan kepada gender. Selalunya pekerja wanita ini terdedah kepada diskriminasi gender, yang mungkin memberi kesan negatif ke atas kesihatan mereka. Sebagai contoh akibat daripada diskriminasi tersebut boleh mengganggu emosi dan perasaan mereka yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental pekerja wanita tersebut. Ada kalanya, mereka mungkin merasa terpaksa untuk mengambil risiko bagi membuktikan bahawa mereka boleh melaksana kerja tersebut. Ini juga boleh memberikan kesan buruk ke atas kesihatan mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Terdapat perbezaan yang ketara di dalam jenis kerja yang dijalankan oleh wanita, dan kadar upah atau bayaran yang mereka terima, berbanding pekerja lelaki. Akibat daripada perbezaan ini, menyebabkaan pekerja lelaki dan wanita akan terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan yang berbeza semasa bekerja. Saya akan memberi beberapa contoh perbezaan risiko antara lelaki dan wanita.
a.Fatik
Statistik menunjukkan bilangan pekerja lelaki yang menjadi mangsa kemalangan adalah melebihi pekerja wanita, Jenis kemalangan yang di alami oleh wanita melambangkan jenis kerja yang mereka laksanakan. Sebagai contoh wanita lebih terdedah untuk menjadi mangsa kemalangan disebabkan fatik, kerana kurangnya rehat disebabkan oleh tanggungjawab di rumah selain dari bekerja.
b.Upper limb disorders
Upper limb disorders adalah penyakit pekerjaan yang paling kerap dialami oleh wanita terutamanya di negara maju. Ianya berkait dengan kerja yang monotonous, kerja berulang (repetitive work), mengangkat beban berat, awkward postures dan penyelarasan kerja yang tidak baik. Faktor ergonomik juga menjadi punca kepada masalah ini, di mana kebanyakan tempat kerja direka untuk lelaki. Ini mengakibatkan sesebuah “work-station” yang pada asalnya direkabentuk untuk lelaki, tidak sesuai untuk kegunaan wanita. Masalah meja bekerja terlalu tinggi atau beban yang perlu diangkat terlalu berat bagi kebanyakan wanita adalah contoh kepada isu ini..
c.Penyakit Pernafasan
Stastik juga menunujukkan lelaki lebih mudah menghidapi penyakit pernafasan yang berkaitan dengan kerja, manakala wanita pula lebih mudah mendapat alahan kulit, dan sensitive kepada pelbagai bahan kimia dan sick building syndrome
d.Alahan Kulit
Peningkatan bilangan kes alahan kulit boleh dikaitkan dengan bilangan wanita yang ramai bekerja dengan bahan pencuci dan pelarut di dalam kerjaya mereka, sebagai pengunting rambut, penjagaan kesihatan (health care) dan sektor penjualan. Sick building syndrome berlaku kepada pekerja pejabat. Saperti yang dapat kita lihat, pekerjaan ini kebanyakkannya dijalankan oleh wanita
e.Pendengaran dan getaran
Masalah ini kerapkali berlaku kepada lelaki yang berkerja dan terdedah dengan bunyi bising dan getaran yang tinggi. Kajian baru yang menyatakan wanita mengandung yang selalu terdedah kepada getaran di seluruh badan akan menambah risiko ke atas bayi kandungannya yang mungkin menghadapi masalah pendengaran apabila dilahirkan.
f.Cancer
Beberapa jenis kerja dilihat boleh mendedahkan pekerja wanita kepada risiko kanser. Wanita yang terpaksa bekerja dengan racun makhluk perosak, pelarut dan dalam bidang penjagaan kesihatan, menghadapi kemungkinan pertambahan risiko untuk megidapi penyakit kanser payudara. Kanser pangkal rahim pula ada hubungkait dengan pendedahan kepada racun rumput dan mereka yang bekerja dalam bidang kosmetik. Kanser paru-paru didapati meningkat di kalangan wanita, mungkin di sebabkan oleh peningkatan wanita yang merokok. Walau bagaimanapun perokok lebih kerap terjadi kepada mereka yang terbat dengan kerja-kerja yang menimbulkan “stress”.
g.Risiko kepada janin
Wanita mengandung yang terlibat dalam mengangkat beban berat atau berdiri pada jangka masa yang panjang boleh mendedahkan diri mereka kepada risiko kelahiran anak tidak cukup bulan. Statistik menunjukkan, satu dalam lima kelahiran tidak cukup bulan di sebabkan oleh aktiviti saperti di atas
h.Stress
“Demand” yang tinggi dan kawalan keatas kerja yang rendah boleh menimbulkan stress. Pekerja wanita dalam pekerjaan kolar putih juga kurang mempunyai kawalan keatas jadual kerja, waktu rehat dan cuti berbanding pekerja lelaki. Dalam pekerjaan kolar biru, dua dari tiga wanita mempunyai pekerjaan demand yang tinggi, kawalan keatas kerja yang rendah berbanding dengan 50 peratus lelaki. Wanita lebih menghadapi gangguan seperti dibuli, di kasari dan berhadapan diskriminasi seksual dan kekerasan di tempat kerja berbanding dengan lelaki. Kesimpulan nya wanita lebih menghadapi masalah kesihatan di sebabkan oleh stress di tempat kerja.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Di sebabkan hendak melindungi pekerja wanita, banyak negara mengambil langkah perlindungan khusus termasuklah melarang pekerja wanita bekerja di bawah tanah dan aktiviti lain yang di anggap merbahaya kepada mereka dan kesihatan reproduktif mereka.
Dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan trend baru menunjukkan terdapat keperluan untuk perlindungan kesihatan pekerja berdasarkan keupayaan masing-masing secara berasingan dari umur dan jantina. Ianya telah dikenalpasti terdapat keperluan khusus kesihatan pekerjaan di sebabkan umur, keadaan physiologi, gender, halangan komunikasi (communication barrier) dan aspek sosial yang lain.
Pendekatan yang lebih berfaedah ialah dengan menilai risiko khusus pekerja wanita dan membentuk perundangan berdasarkan perbezaan gender. Dengan cara ini keselamatan dan kesihatan boleh menjadi alat untuk mempromosi kesaksamaan gender di tempat kerja bagi wanita dan lelaki.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Beberapa aktiviti boleh dilaksanakan samada oleh kerajaan, majikan dan pekerja untuk meningkatkan keselamatan dan kesihatan wanita di tempat kerja. Di antaranya ialah
Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan perlu memasukkan perlindungan yang khusus keselamatan dan kesihatan wanita sebagai salah satu tujuan yang hendak di capai. Mengadakan panduan kepada majikan, kesatuan sekerja dan kementerian untuk mengenalpasti masalah, mengadakan hubungkait dengan aktiviti keselamatan dan kesihatan untuk semua pekerja dan membangunkan program khusus untuk memastikan keperluan wanita di ambil kira di peringkat kebangsaan terutama dalam perundangan, maklumat dan latihan, penyertaan pekerja dan kajian.
Semakan semula dan kajian cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya, klasifikasi kerja, meningkatkan kemahiran bagi pekerjaan yang diungguli oleh wanita Terdapat keperluan untuk memberi fokus kepada melindungi keselamatan dan kesihatan wanita melalui perkhidmatan kesihatan pekerjaan. Program pencegahan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan persekitaran pekerjaan perlu di laksanakan. Kerja sepatutnya mengikut keupayaan wanita dari segi keadaan kesihatan fizikal dan mental.
Pembangunan statistik kebangsaan berkaitan kemalangan dan penyakit pekerjaan mengikut gender yang boleh menyumbang kepada menentukan keutamaan untuk tindakan program pencegahan; pembangunan strategi kebangsaan untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan wanita; pembangunan standard, tata amalan dan garispanduan lain berkaitan bahaya khusus dihadapi oleh pekerja wanita.
Kajian dan maklumat yang lebih baik ke atas kesihatan pekerjaan untuk wanita
Pengubalan garispanduan penilaian kesan gender berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan
Pereka peralatan merekabentuk peralatan untuk wanita, berbanding dengan mengharapkan wanita menyesuaikan diri dengan peralatan yang di rekabentuk untuk lelaki
Pekerjaan yang baru saperti teleworking dan jadual bekerja baru yang akan di monopoli oleh wanita mesti di nilai terutama kesan nya kepada keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan berkeluarga
Praktis yang baik dibuat oleh majikan yang gender sensitif di tempat kerja perlu di sebarkan untuk pengetahuan umum
Perlakuan atau persepsi kepada wanita sebagai pekerja rendah hendaklah di tukar
Program kesaksamaan gender setempat perlu di laksanakan
Kesimpulan terakhir saya ialah kesihatan wanita di tempat kerja akan dapat di pertingkatkan apabila lelaki mengambil bahagian dengan membantu kerja-kerja di rumah. Pembahagian tanggungjawab yang seimbang di rumah dan juga di tempat kerja akan membawa kepada perubahan yang positif kepada kesihatan wanita.
Sekian, terima kasih











Visitor Statistics | Currently Online : 177 |