Ucapan Perasmian
YB SENATOR DATO’ MAZNAH BINTI MAZLAN,
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Sempena Kempen Peluang Pendapatan Avon
‘BERSAMA AVON, ANDA BOLEH!’
Subang Jaya : 1 Ogos 2009 (Sabtu): 2.30 petang
______________________________________________
Yang Berbahagia Encik Mansoor Wan Abdullah
Presiden Avon Malaysia, Thailand dan Vietnam
Yang Berbahagia Dato’ Haji Ameer Ali bin Mydin
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad
Yang Berbahagia Encik Zakaria Daud
Pengarah Jualan Avon Malaysia
Yang Berbahagia Cik Sahara Noon
Ketua Pemasaran Avon Malaysia
Yang Dikasihi Rakan-Rakan Media
Pengunjung-pengunjung Pasaraya Mydin yang saya hormati.
Assalammualaikum WBT dan salam sejahtera.
1. Terlebih dahulu saya ingin memanjangkan syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izinNya dapat kita berkumpul di sini pada pagi ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Encik Mansoor Wan Abdullah (Presiden Avon Malaysia, Thailand dan Vietnam), Yang Berbahagia Dato’ Haji Ameer Ali bin Mydin (Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad) AVON sebagai pihak penganjur kerana menjemput saya untuk memberi ucapan dan seterusnya merasmikan kempen peluang pendapatan ‘Bersama Avon, Anda Boleh!. Saya berasa cukup gembira kerana dapat bersama-sama Avon dan anda sekalian pada pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
2. Selaras dengan Konsep 1 Malaysia : “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, perkembangan dari segi ekonomi Malaysia harus mengambil kira sepenuhnya penglibatan masyarakat Malaysia secara langsung kepada kemajuan negara bagi menjayakan hasrat murni ini.
3. Dalam melaksanakan usaha-usaha tersebut, negara sentiasa menghadapi cabaran jangkamasa panjang untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktur terhadap ekonomi Malaysia berasaskan model ekonomi baru berteraskan kreativiti dan inovasi.
4. Oleh sebab itu, sebagai syarikat francais, AVON sentiasa komited melaksanakan peranannya menjalankan aktiviti mempromosikan perniagaan francais sebagai satu konsep pemasaran perniagaan yang berjaya. AVON sudah tentu sentiasa menjaga kebajikan para pengedar, peruncit dan industri perkhidmatan secara amnya agar sasaran pencapaian pendapatan syarikat ini sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.
5. Justeru, AVON sebagai satu syarikat berjenama terkenal di arena antarabangsa tampil membuka ruang dan memberi peluang pendapatan tanpa had kepada rakyat Malaysia. Bagi saya, usaha ini adalah sesuatu usaha yang bijak, luhur, berani dan harus direbut segera. Usaha dan kerjasama daripada sektor perniagaan sebegini patut dipuji dan amat dialu-alukan oleh kerajaan untuk membantu memantapkan lagi ekonomi negara demi kesejahteraan bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
6. Pada tahun 2008, negara telah dilanda krisis harga minyak yang meningkat dan tahun 2009, dunia mengalami kemerosotan ekonomi yang mengakibatkan tekanan hidup kepada golongan pekerja yang berpendapatan rendah dan tidak ketinggalan juga syarikat-syarikat yang terpaksa mengurangkan kos operasi dan penyusunan semula dalam menangani masalah ini. Natijahnya, kita melihat pemberhentian secara sukarela (VSS) dan pengurangan pekerja berlaku kesan kelembapan ekonomi dunia semasa.
7. Kementerian Sumber Manusia berusaha membantu golongan yang menerima impak kegawatan ekonomi ini dengan melaksanakan program-program di bawah kendaliannya, seperti Program Penempatan Pekerjaan, Program Latihan dan Penempatan Pekerjaan, Program Latihan dan Pengekalan Pekerja, serta Program Penggantian Pekerja Asing Kepada Pekerja Tempatan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
8. Perlu diingat, penggunaan tenaga kerja semakin hari semakin bertambah sedangkan jumlah pekerjaan kian terhad. Kebanjiran pekerja asing dalam pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan dan perindustrian menimbulkan rungutan kepada penduduk tempatan kerana dianggap menjejaskan peluang rakyat negara ini sehingga meningkatkan kadar pengangguran dan kos sara hidup. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, dianggarkan pada suku tahun pertama 2009, kadar pengangguran sebanyak 4.0 % menjadikan jumlah pengangguran sebanyak 450 700 orang.
9. Oleh sebab itu, kerajaan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan seluruh rakyat menikmati hasil kemajuan negara. Program-program latihan yang disebutkan tadi memerlukan penglibatan antara majikan dan pekerja. Justeru, pencari kerja, terutamanya di kalangan belia dan siswazah menganggur seharusnya menggunakan peluang anjuran AVON ini sebagai alternatif untuk membolehkan anda memperoleh pekerjaan dengan jaminan pendapatan yang lumayan. Ingin saya ingatkan di sini bahawa bukan mudah mengharungi persaingan sengit mendapatkan pekerjaan, oleh itu saya mencadangkan pencari kerja untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan atau perniagaan seperti perniagaan barangan kosmetik AVON ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
10. Saya difahamkan bahawa AVON memberi peluang pendapatan khususnya kepada wanita untuk memulakan perniagaan sendiri dengan menjual barangan kecantikan berkualiti pada harga amat berpatutan dan berniaga mengikut masa yang fleksibel. Di samping menyediakan pelbagai insentif, kemudahan kredit dan sokongan jualan, AVON turut mengadakan program-program latihan dan pembangunan kepada yang berminat. Bagi saya, ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk meraih pendapatan lumayan, mudah dan tidak membebankan.
11. Sehubungan itu, saya berharap para pengunjung khususnya golongan belia mengambil peluang dari kempen tanpa ragu. Kerana saya pasti AVON memiliki pelan dan strategi pemasaran perniagaan tersendiri yang bertahan lama. Buktinya, AVON mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia dan bertahan lama sehingga ke hari ini. Sesungguhnya, AVON bukan calang-calang syarikat. Ia berdiri teguh sebaris dengan jenama barangan kecantikan antarabangsa.
12. Diharapkan kepada semua, sebelum memulakan bidang keusahawanan, haruslah berusaha mempelajari selok-belok perniagaan, bagaimana mengatasi cabaran mendatang, persediaan-persediaan wajar yang perlu dilakukan. Kebijaksanaan, kekuatan mental, fizikal, ilmu pengetahuan haruslah diadun bersama agar bidang yang diceburi ini tidak menemui kegagalan. Jangan ragu-ragu AVON sentiasa menghulurkan kesediaan membantu anda!
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
13. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini samada secara langsung atau tidak langsung.
Dengan ini, saya merasmikan Kempen ‘Bersama Avon, Anda Boleh!’.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.















Visitor Statistics | Currently Online : 64 |