Ucapan Yang Berhormat Dato’ Maznah Bte Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia di Majlis Pelancaran Kempen Penempatan Kerja Bagi Oku Penglihatan pada 28 Julai 2009 jam 10 pagi bertempat di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.
Yang Berhormat Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Bin Md. Salleh, Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Yang Berbahagia (Dr) S. Radha Krishnan
Pengerusi Jawatankuasa Penempatan MAB.
Ahli-ahli Majlis MAB.
En. George Thomas
Pengarah Eksekutif MAB.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja
Pengarah OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
Wakil-wakil Jabatan Kerajaan
Malaysian Employer Federation (MEF)
Para Media Massa
Serta hadirin sekelian.
Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Sayan ucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di atas undangan sebagai Tetamu Kehormat bagi merasmikan majlis pagi ini. Sebelum meneruskan ucapan saya, saya ingin menyampaikan salam daripada Yang Berhormat Menteri dan memohon maaf di atas ketidakhadiran beliau pada pagi ini memandangkan ada urusan rasmi yang lebih penting. Beliau turut mendoakan agar segala usaha yang dijalankan oleh pihak MAB akan berjaya dan akan sentiasa mendapat kerjasama dan sokongan padu sepenuhnya daripada Kementerian Sumber Manusia.
Hadirin sekalian,
Syabas dan tahniah kepada MAB atas inisiatif menghasilkan risalah baru yang cukup unik dan bermaklumat ini. Sesungguhnya, dengan risalah ini, adalah diharapkan agar lebih ramai majikan di luar sana akan tampil dan mengambil pekerja di kalangan OKU penglihatan khususnya untuk ditempatkan dalam syarikat mereka. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama jabatan-jabatan di bawah kelolaannya akan terus berusaha dan menjalin kerjasama erat dengan pihak MAB untuk merealisasikan hasrat murni ini.
MAB merupakan sebuah persatuan yang sudah utuh dan mempunyai kredibiliti yang tinggi di kalangan masyarakat OKU khususnya dan juga masyarakat umumnya. Maka dengan itu, segala perancangan dan usaha yang dilakukan demi menjaga kepentingan golongan OKU di negara ini pasti akan mendapat sokongan dan sambutan baik daripada pihak kerajaan.
Hadirin sekalian,
Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama jabatan-jabatan di bawah kendaliannya sedang giat berusaha untuk membantu menempatkan seberapa ramai pekerja OKU dalam sektor kerajaan sejajar dengan keperluan kuota 1%. Pendaftaran menerusi laman web Jobsmalaysia dan juga pengedaran borang pendaftar pekerja OKU menerusi JKM masih diteruskan. Di samping itu, permintaan untuk pelaksanaan kuota 1% untuk pihak swasta merupakan suatu cadangan yang bernas dan akan saya usulkan dengan pihak kerajaan untuk tindakan susulan. Keutamaan kepada golongan OKU dalam permohonan pekerjaan operator pusat panggilan (call centre) dan receptionist juga akan saya bawa ke pihak berwajib. Sesungguhnya, peluang wajar diberikan kepada golongan OKU kerana mereka mempunyai banyak bakat dan kebolehan luar biasa yang harus diketengahkan agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Pihak Kementerian juga sedang mendapati golongan OKU boleh menceburkan diri dalam bidang kemahiran keusahawanan. Kementerian Sumber Manusia telah memperuntukkan sejumlah RM22 juta untuk tujuan tersebut di mana pihak majikan boleh menngaji pekerja OKU ataupun golongan OKU itu sendiri membesarkan perniagaan mereka dan menggaji rakan-rakan OKU yang lain.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepapa para NGO seperti MAB yang berusaha gigih dalam meningkatkan dan menempatkan OKU ke dalam bidang pekerjaan di mana MAB mempunyai satu unit khas untuk tujuan ini.
Pihak Kementerian akan membantu MAB mengembangkan Unit Penempatan Pekerjaan ini supaya lebih raman golongan OKU akan dapat dibantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
Hadirin sekalian,
Usaha menerapkan pekerja OKU dalam sektor kerajaan mahupun swasta sebenarnya memerlukan masa yang panjang memandangkan statistik sebenar jumlah golongan OKU yang terdapat di Negara ini adalah kurang jelas. Malahan, masih ramai di kalangan golongan OKU ini yang enggan berdaftar dengan pihak JKM. Ini mungkin disebabkan mereka tidak tahu atau tidak peka terhadap kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk mereka. Maka dengan itu, saranan saya kepada para ibubapa yang mempunyai anak-anak OKU, silalah daftarkan mereka dengan JKM yang berdekatan dengan anda agar memudahkan pengurusan prasarana untuk mereka pada masa akan datang.
Dengan ini saya akhiri ucapan saya. Dengan lafaz bismillah…. saya melancarkan Kempen Penempatan Kerja Bagi OKU.
Sekian, terima kasih.















Visitor Statistics | Currently Online : 53 |