Ucapan Perasmian
Yang Berhormat Senator Dato’ Maznah Mazlan
Timbalan Menteri Sumber Manusia
SEMPENA SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN “TOWARDS SAFE AND HEALTHY WORKING CULTURE”
Di Hotel Selesa, Pasir Gudang, Johor
Pada 17 Julai 2009 (Jumaat), 9.00 pagi
Y. Bhg En Lukman bin Hj Abu Bakar
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang
Y.Bhg En Omar bin Mat Piah
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Johor
Y. Berusaha En Ja’apar Samat
Pengarah Urusan Johor Skills Development Centre (PUSPATRI)
Ketua-ketua Jabatan Agensi Kerajaan
Ahli-ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang
Hadirin yang dihormati sekelian.
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang kerana sudi menjemput saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan tema “Towards Safe and Healthy Working Culture” pada pagi yang berbahagia ini.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA) dan Johor Skills Development Centre (PUSPATRI) kerana berjaya menganjurkan seminar seumpama ini, yang sudah pasti akan dapat memberi manfaat kepada para peserta seminar khasnya dan penduduk-penduduk di sekitar kawasan Pasir Gudang amnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kepesatan sains dan teknologi di era globalisasi telah memberi impak yang positif terutama kepada inovatif produk baru di pelbagai sector perindustrian. Ini dapat dilihat dimana berbagai jenis kilang memproses yang sedang dan akan dibangunkan oleh pelabur di Wilayah Pembangunan Iskandar Johor.
Kesan kemajuan ini telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap tenaga kerja mahir di dalam semua bidang termasuk pengetahuan menyelesaikan masalah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Oleh yang demikian, setiap tenaga pekerja perlu mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran penggunaan teknologi serta proses terkini dengan selamat.
Hakikatnya, kelengkapan teknologi tinggi dan proses di loji-loji perindustrian mengundang risiko dan bahaya tersendiri yang akan dihadapi oleh para pekerja.
Risiko ini sekiranya tidak diberi perhatian serius, boleh menyebabkan berlakunya kemalangan, masalah kesihatan, kecedaraan fizikal, masalah penyakit serta kerosakan harta benda.
Justeru, pihak syarikat dan majikan perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja masing terjamin. Ianya penting bagi mengekalkan modal insan yang fokus dan berkualiti bagi meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing sesebuah organisasi.
Setiap majikan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran pengawalan risiko melalui amalan pengurusan system keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkesan. Ini dapat membantu majikan mengenalpasti secara proaktif punca kemalangan dan kecederaan ke atas pekerja dan seterusnya mengambil tindakan susulan yang berkaitan.
Lazimnya, tindakan susulan dilakukan dengan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi menangani isu-isu keselamatan dan kesihatan yang berbangkit di tempat kerja.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang terdiri daripada MPPG, PAGEMA dan PUSPATRI kerana pada setiap tahun telah berperanan aktif menyediakan ruang dan peluang kepada industri untuk berbincang melalui seminar.
Ia dilakukan bagi memelihara kebajikan para pekerja melalui peningkatan kesedaran dan mementingkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja khususnya di sector perkilangan. Inisiatif yang ditonjolkan oleh penganjur perlu dicontohi oleh semua pihak berkuasa tempatan lain.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kerajaan telah menggariskan strategi aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSH MP 2015 for Malaysia. Pelan ini telah dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada bulan Mei lalu.
Untuk makluman hadirin sekalian, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan melalui tiga fasa penting untuk mencapai budaya kerja selamat pada tahun 2020.
Fasa pertama strategi iaitu dari tahun 2005 hingga 2010, mensasarkan pemilikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau “OSH Ownership “ di semua sektor industri. Namun, lima fokus utama diberikan kepada sektor yang dikenalpasti sebagai sektor kritikal iaitu Industri Kecil dan Sederhana, Pembinaan, Pertanian, Pengangkutan dan Institusi Pendidikan.Dalam fasa ini, pihak kerajaan melalui DOSH akan menyemak semula akta dan peraturan keselamatan dan kesihatan sedia ada, selaras dengan kehendak dan keperluan semasa di sektor industri.
Disamping itu, pengetahuan dan kompetensi pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan dipertingkatkan. Ini termasuk sejumlah 2,496 orang pegawai keselamatan dan keselamatan atau SHO yang berdaftar dengan DOSH.
Fasa kedua strategi OSH MP iaitu dari tahun 2010 hingga 2015 pula mensasarkan Pengaturan Kendiri atau “Self Regulatory”. Perlaksanaan fasa ini akan menekankan budaya pencegahan di tempat kerja melalui penggubalan dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan kebangsaan.
Dalam konteks ini, kepimpinan di kalangan majikan dan kesatuan sekerja perlu diperhebat. Ini kerana kepimpinan dalam diri akan secara tidak langsung dapat mengurus aspek keselamatan dan kesihatan bukan sahaja secara rohaniah tetapi mampu dipraktikkan secara fizikal.
Hasil dari kesedaran ini, sudah pasti system pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau “OSH MS” akan dapat diterapkan dan dilaksanakan disemua tempat kerja.
Fasa ketiga adalah dari tahun 2015 hingga 2020 yang mana Negara menuju status Negara maju. Ini akan tercapai apabila budaya pencegahan diamalkan oleh setiap individu majikan dan pekerja.
Hadirin yang dihormati sekelian,Dengan pelaksanaan usaha dan inisiatif kerajaan sebagaimana yang saya sebutkan, saya menggesa para pengusaha industri agar mengatur strategi pengurusan aspek sumber manusia dengan lebih professional dan efisyen.
Keselamatan, kesihatan dan keselesaan tempat kerja perlu diutamakan melalui pembudayaan yang berterusan tentang amalan ciri-ciri keselamatan. Ini selari dengan tema seminar pada hari ini “Towards Safe and Healthy Working Culture”
Komitmen berterusan perlu diterapkan di hati dan sanubari setiap majikan dan pekerja bagi mencegah kemalangan, penyakit pekerjaan mahu pun kejadian berbahaya berlaku semasa pekerja sedang bekerja.
Kegagalan atau kecuaian majikan menangani isu berkenaan akan memberi kesan negative terhadap kesihatan para pekerja dan sudah tentu akan menjadi faktor penyebab kepada musibah yang mungkin berlaku di tempat kerja.
Hadirin yang dihormati sekelian,
Penguatkuasaan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua sektor industri dilakukan oleh Kementerian saya melalui DOSH. Untuk makluman hadirin sekalian, sehingga tahun 2008, DOSH Johor telah mendaftar 3907 buah kilang dan 39,198 jentera di sektor pembuatan.
Pemeriksaan kilang dan jentera dibuat secara berkala bertujuan untuk memastikan keselamatan jentera sentiasa disenggara oleh majikan. Ini bagi mengelakkan implikasi negative seperti kemalangan yang boleh melibatkan nyawa para pekerja.
Laporan kemalangan tempat kerja sehingga Jun 2009 bagi negeri Johor mencatatkan 589 kes kemalangan berlaku berbanding 1377 kes kemalangan pada tahun 2008. Jumlah ini merangkumi 15 kes maut dan 11 kejadian berbahaya manakala 563 kecedaraan.
Saya menggesa setiap pengusaha industri terutama di negeri Johor ini memikul tanggungjawab mereka mematuhi semua peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka terutama sekali yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Setiap majikan perlu bersikap pragmatic dan menghindari sikap sedia dan tunggu pegawai DOSH mengambil tindakan undang-undang.
Tindakan undang-undang bukan satu jalan penyelesaian aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Namun begitu, masih ada majikan yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka dengan mematuhi kehendak Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA).
Sehingga Jun tahun ini, DOSH Johor telah mendakwa lapan (8) syarikat yang gagal mematuhi undang-undang dan melibatkan jumlah denda sebanyak RM 98,500.00. Manakala 11 lagi syarikat akan didakwa dalam jangka masa terdekat.
Saya berharap setiap organisasi sama ada sektor awam atau swasta dapat mengenal pasti keperluan-keperluan latihan bagi tenaga pekerja masing-masing agar dapat meningkatkan pengetahuan masing-masing dalam isu-isu yang berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
Saya yakin penganjuran Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini dapat membincangkan banyak isu dan cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan masa kini melalui pembentangan kertas kerja oleh mereka yang mahir dalam bidang masing-masing. Saya berharap para peserta seminar sekalian dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin.
Sebelum saya berundur diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang, PAGEMA, PUSPATRI serta semua pihak yang berjaya menganjurkan seminar yang akan membuka minda peserta dari sektor industri pembuatan, pengeluaran, pemprosesan dan perkilangan serta industri yang berkaitan serta penduduk yang tinggal di sekitar kawasan industri yang terdedah kepada masalah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pengwujudan suasana selesa, ceria dan selamat di tempat kerja akan memberi komitmen dan moral yang tinggi kepada pekerja untuk melaksanakan tugas-tugas mereka.
Semoga dengan usaha ini diteruskan dan tidak berhenti di sini sahaja dalam menyahut cabaran bagi memastikan tempat kerja selamat dan sihat untuk semua.
Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan “Towards Safe and Healthy Working Culture”.
Sekian, terima kasih.















Visitor Statistics | Currently Online : 62 |