Ucapan Yang Berhormat Senator Dato’ Maznah Mazlan
Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkapkan Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
DI MAJLIS PERASMIAN
SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN
PEKERJAAN DI SEKTOR AWAM
Di Institut KWSP, Bandar Baru BangiPada 7 Julai 2009 (Selasa)
Jam 9.00 pagi
Anjuran Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KSM)
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu, saya mengucapkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinnya jua dapat saya hadir ke majlis perasmian seminar pada pagi ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Y.Bhg. Dato’ Ir Dr. Johari Basri, Ketua Pengarah JKKP Malaysia kerana menjemput saya berucap dan merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2009.
Saya dapat merasakan aura positif memenuhi dewan ini melihatkan sambutan tuan-tuan dan puan-puan sekalian hadir di seminar ini. Kehadiran para hadirin sekalian menunjukkan iltizam penjawat perkhidmatan awam yang sentiasa relevan dengan perkembangan aspek keselamatan dan kesihatan perkerjaan di Negara ini.
Tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekalian,
Kita semua sedia maklum bahawa majikan terbesar di Negara ini adalah dari sector perkhidmatan awam yang merangkumi lebih kurang 1.02 juta orang penjawat awam. Output kita adalah perkhidmatan dan penyampaian yang berkualiti kepada pelanggan dan rakyat, tidak kira jenis bidang kerja yang dilakukan.
Namun, tanpa kita sedari setiap aktiviti kerja yang dijalankan mempunyai bahaya dan risiko tersendiri yang tidak boleh diabaikan. Sebagai contoh, kualiti udara dalaman di sesebuah pejabat yang tidak baik boleh memberi risiko penyakit kulit akibat alahan, posisi yang lemah semasa penggunaan computer boleh memberi risiko penyakit kulit akibat alahan, posisi yang lemah semasa penggunaan computer boleh memberi risiko keletihan mata dan bahagian belakang badan.
Sebelum ini juga kita dapat lihat pelaporan media massa berkaitan kejadian berbahaya atau kemalangan yang melibatkan sektor perkhidmatan awam seperti kejadian murid ditimpa tiang gol, guru terjatuh/ terpelesok dari tingkat atas sekolah akibat kegagalan di lantai, doctor atau jururawat tercucuk jarum, dan pembantu makmal terkena penyakit Tibi akibat pendedahan kuman Tibi di makmal.
Statistik penyakit pekerjaan yang dilaporkan ke DOSH mencatatkan sebanyak 33 kes pada 2008 berbanding 21 kes 2007. Kes-kes ini melibatkan penyakit paru-paru, jangkitan kuman, alahan pada kulit dan kehilangan pendengaran.
Apa yang pasti, kerajaan tidak mahu para penjawat awam tercedera atau ditimpa kemalangan akibat proses kerja yang dilakukan. Kemalangan dan penyakit pekerjaan akan mempengaruhi prestasi penyampaian di jabatan/ agensi masing-masing.
Tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekalian,
Baru-baru ini, Pelan Induk KKP 2015 (OSH MP 2015) telah dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Salah satu strategi yang digariskan di dalam Pelan Induk KKP 2015 (adalah kerajaan sebagai peneraju atau role model bagi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Bagi memastikan strategi ini terlaksana, ketua jabatan dan para pekerja perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam mengurus aspek KKP di tempat masing-masing.
Sehubungan itu, saya menggesa setiap Ketua Jabatan agar mengamalkan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSH MS yang disesuaikan dengan keadaan kerja masing-masing.
Tempat kerja yang teratur, kemas dan bersistematik serta mempunyai cirri-ciri keselamatan dan kesihatan yang baik akan membolehkan kakitangan kerajaan bekerja dengan cekap dan selesa dan seterusnya meningkatkan produktiviti. Secara tidak langsung, ia mencerminkan jabatan/ agensi yang sentiasa alert dengan risiko semasa yang jika tidak dikawal boleh mencipta persekitaran kerja yang negatif.
Kesan dari persekitaran kerja yang negatif, pekerja akan mengalami penderitaan sepanjang hidup. Perlu diingat, penderitaan ini secara fizikalnya dialami oleh pekerja itu sahaja, namun secara tidak langsung ia akan menimbulkan masalah social di kalangan ahli keluarga mereka.
Tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekelian,
Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah membelanjakan lebih RM1.8 juta pada tahun lalu (2008) untuk membayar pampasan ex-gratia ke atas 41 kes penyakit pekerjaan. Ini bermaksud kerajaan mungkin perlu membelanjakan lebih banyak peruntukan bagi membayar pampasan sekiranya penyakit pekerjaan terus berlaku di kalangan penjawat awam.
Justeru, Ketua Jabatan atau pihak pengurusan atasan setiap jabatan/ agensi perlu memikul tanggungjawab sebagaimana kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Pada dasarnya, mereka perlu menjalankan program mengenalpasti bahaya dan risiko bagi setiap aktiviti kerja. Seterusnya melakukan tindakan kawalan yang berpatutan. Di samping itu, para pekerja perlu diberi latihan yang mencukupi agar bersedia menghadapi risiko pekerjaan.
Tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekalian,
Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya berharap seminar sehari ini dapat memberi impak yang positif dan memberi ilham kepada Ketua Jabatan dan semua penjawat awam merancang dan melaksanakan program-program keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Saya juga mengucapkan syabas kepada JKKP selaku penganjur seminar ini atas usaha gigih semua ahli jawatankuasa disamping perancangan dan perlaksanaan yang rapi, , memastikan acara pada pagi ini berlangsung dalam suasana harmoni.
Semoga dengan amalan budaya kerja selamat dan sihat, gagasan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia dalam memodenisasikan sektor perkhidmatan awan yang cekap, berkesan, responsive, luwes dan berani berubah akan menjadi kenyataan.
Dengan kata-kata itu, saya merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam 2009.
Sekian, terima kasih.















Visitor Statistics | Currently Online : 63 |