Login Form



Upacara Menandatangani bagi Perjanjian Bersama Kedua dan Memorandum Persefahaman

Print

Ucapan Yang Berhormat Senator Dato’ Maznah Mazlan

Timbalan Menteri Sumber Manusia

 

Sempena Upacara Menandatangani bagi :-

1)      Perjanjian Bersama Kedua diantara PNMB dengan Kesatuan Pekerja-pekerja Percetakan Nasional Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia. (KPPPNMBSM)

2)      Memorandum Persefahaman diantara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Tenaga Manusia dengan PNMB

 

Di Hotel Marriot, Putrajaya

Pada 29 Jun 2009

Jam 12.00 Tengahari

 

 

Terima kasih Pengerusi Majlis

 

Yang berbahagia Tan Sri Mohd Bakri bin Haji Omar,

Pengerusi PNMB

 

Yang Berbahagia Dato’ Segarajah a/l Ratnalingam,

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia

 

Yang Berbahagia Dato’ Hj. Mohd Habib bin Hj. Jamaldin,

Pengarah Urusan PNMB

 

En. R.Vittal Rao,

Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja PNMB Semenanjung Malaysia

 

Tetamu-tetamu Kehormat

 

Dan semua para hadirin yang saya hormati sekalian

Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada PNMB khususnya kepada Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Bakri bin Haji Omar selaku Pengerusi PNMB yang telah menjemput saya bagi menyaksikan dua upacara iaitu Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Kedua diantara PNMB dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja PNMB Semenanjung Malaysia serta Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Tenaga Manusia dengan PNMB bagi Kerjasama Program Latihan Teknikal.

Saya dimaklumkan oleh Pengurusan PNMB bahawa rundingan Perjanjian Bersama Kedua kali ini mengambil masa yang begitu singkat bagi mencapai kata persetujuan iaitu kurang daripada enam bulan berbanding Perjanjian Bersama Pertama yang memakan masa yang agak lama untuk dimeterai iaitu selama 13 tahun.

Ini menunjukkan satu perkembangan yang amat positif dan melambangkan perhubungan yang harmoni di antara kedua-dua belah pihak iaitu Pengurusan PNMB dan juga Pihak Kesatuan. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua belah pihak kerana saya percaya keadaan ini berlaku kerana wujudnya jalinan persefahaman, sikap saling faham memahami, bertolak ansur, serta ikatan permuafakatan yang begitu mantap dan ikhlas. Perhubungan yang baik inilah yang sangat dialukan dan digalakkan oleh Kementerian saya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Dalam situasi kelembapan ekonomi yang sedang melanda sekarang, majikan dan pekerja termasuklah pihak Kesatuan hendaklah sentiasa berganding bahu dan saling saling memahami di antara satu sama lain untuk memastikan perniagaan syarikat berjalan dengan lancer. Walaupun saya difahamkan keadaan ekonomi sekarang tidak memberi kesan yang besar ke atas PNMB, tetapi saya ingin mengingatkan kepada semua supaya tidak leka dengan keadaan sekarang dan sentiasa bekerja dengan penuh komited. Justeru itu, sebagai balasan pihak Kesatuan perlu sentiasa berusaha untuk memastikan faedah dan kebajikan pekerja dijaga dengan sebaiknya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Pekerja merupakan tulang belakang syarikat dan menjadi nadi penggerak kepada ekonomi Negara. Majikan pula diharapkan sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan pekerja dari segi perkhidmatan, keselamatan mahupun kesihatan di tempat kerja.

Amatlah perlu industri di Malaysia memelihara keharmonian perhubungan perusahaan agar Negara kita menjadi satu tempat yang dapat menarik dan mengekalkan minat pelabur-pelabur dari luar untuk terus melabur di Negara kita. Kestabilan politik, ekonomi, kemudahan infrastruktur, kewujudan sumber-sumber asli yang disusuli dengan tenaga kerja mahir dan suasana perhubungan perusahaan yang harmoni adalah factor yang diambil kira oleh pelabur dan peniaga dari luar untuk melabur dan berniaga di Negara kita.

Perhubungan perusahaan yang harmoni telah digariskan dalam ‘Code Of Conduct For Industrial Harmony’ yang secara ringkasnya menekankan kepada persefahaman di antara kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja di dalam menyelesaikan apa-apa perkara yang berkaitan dengan pekerjaan. Saya amatlah berharap agar perkara-perkara yang digariskan di dalam ‘Code of Conduct For Industrial Harmony’ tersebut dijadikan garis panduan oleh kedua-dua pihak dalam menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul berkaitan dengan pekerjaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

Bersempena dengan Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Tenaga Manusia dengan PNMB bagi kerjasama Program Latihan Teknikal yang akan dimeterai sebentar lagi, saya amat menyambut baik dan berpendapat ianya boleh dijadikan sebagai platform yang paling sesuai untuk melahirkan pekerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang percetakan, bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa.

Misi Nasional yang dilancarkan bersama Rancangan Malaysia ke-9 telah menekankan betapa pentingnya pembangunan modal insan yang akan memainkan peranan utama untuk menjadikan Negara lebih kompetitif dipersada antarabangsa. Pembangunan modal insane menekankan aspek penyediaan latihan kepada tenaga kerja supaya seiring dengan keperluan teknologi dan kehendak semasa.

Pihak Kerajaan sentiasa menggalakkan dan menyeru agar syarikat-syarikat swasta dapat menyediakan program-program latihan kepada pekerjanya untuk meningkatkan lagi kemahiran pekerja ke peringkat yang lebih tinggi. Saya difahamkan pengurusan PNMB tidak ketinggalan di dalam melatih pekerjanya supaya kemahiran dan pengetahuan pekerja sentiasa dipertingkatkan selaras dengan perkembangan teknologi dan pengetahuan terkini. Langkah yang dibuat di dalam memberi penekanan kepada pembangunan modal insane dengan menetapkan satu program latihan yang berstruktur bagi semua pekerja adalah satu langkah yang baik kea rah mencapai hasrat ini. Lebih-lebih lagi teknologi industri percetakan adalah berubah selaras dengan perubahan teknologi. Oleh itu pekerja-pekerja perlu mempunyai daya kreativiti, berinovasi dan sentiasa meningkatkan produktiviti.

Sehubungan dengan itu, kerjasama di antara Jabatan Tenaga Manusia dan PNMB bagi Program Latihan Teknikal dalam bidang percetakan ini adalah merupakan satu perkongsian yang paling tepat untuk menghasilkan pekerja-pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pihak Jabatan Tenaga Manusia yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya iaitu En. Romli bin Hj. Hassan dan Pengarah Urusan PNMB, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Habib bin Hj. Jamaldin di atas kerjasama yang dijalinkan ini.

Saya berharap kerjasama ini akan membuahkan hasil dan mencapai objektif yang telah disarankan sebagaimana yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman yang akan ditandatangani ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pengurusan PNMB dan Kesatuan Pekerja-pekerja Percetakan Nasional Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia kerana mencapai persetujuan bagi menandatangani Perjanjian Bersama yang Kedua ini. Saya menyeru kepada semua supaya sentiasa cinta kepada organisasi yang kita bekerja bagi memperolehi pendapatan untuk menyara kehidupan kita seharian dan yakinlah pekerja juga akan terus maju seiring dengan majunya organisasi yang tuan-tuan dan puan-puan bekerja.

Saya juga berharap kerjasama di antara Jabatan Tenaga Manusia dengan PNMB bagi Program Latihan Teknikal akan berjalan dengan lancer dan berjaya mencapai hasrat yang diidamkan.

Sekian, terima kasih.

Last Updated ( Wednesday, 05 August 2009 23:05 )