Login Form



Majlis Hari Terbuka ILP Kuala Langat

Print

Ucapan Yang Berhormat Senator Dato’ Maznah Mazlan

Timbalan Menteri Sumber Manusia

Sempena Majlis Hari Terbuka ILP Kuala Langat

 

Di Lavender Hall ILP Kuala Langat

Pada 16 Mei 2009 (Sabtu)

Jam 11.00 Pagi

 

 

Bismillahirrahmanirrahim

 

Terima kasih saudara/ saudari Pengacara Majlis

 

Y.Bhg. Tuan Haji Mohd. Azman bin Abd. Mubin

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)

 

Yang Berusaha En. Romli bin Hassan

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia

 

Puan Rosnah bt. Muhamad Tahir

Pengarah Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat

 

En. Ghazali bin Dato’ Abd. Hamid

Ketua Pegawai Eksekutif YB Production Sdn. Bhd.

 

Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri,

Pengarah-pengarah (ILTTM)

Tan Sri – Tan Sri, Dato’ – Dato’ dan Datin – Datin,

Wakil-wakil Industri

Tuan-Tuan, Puan-Puan, IbuBapa dan Para Pelajar yang dikasihi sekalian,

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya bersyukur ke hadrat Allah dengan izinnya kita semua dapat berkumpul dalam majlis yang gilang gemilang ini untuk Majlis Hari Terbuka ILP Kuala Langat 2009 dan juga Majlis Menandatangani (MOU) antara ILP Kuala Langat dengan YB Production Sdn. Bhd. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Tenaga Manusia khasnya ILP Kuala Langat kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis yang amat bermakna ini.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Saya menganggap Majlis Hari Terbuka ILPKLS 2009 ini amat bermakna sekali kerana pada hari ini semua masyarakat/ komuniti tempatan, ibu-bapa pelajar ILP Kuala Langat serta semua para jemputan berpeluang mengenali ILP ini lebih dekat terutama fungsinya sebagai Institusi Latiham Kemahiran Awam. Selain dari itu hari terbuka ILP ini dapat mewujudkan perhubungan dan kerjasama yang erat antara pihak ILP Kuala Langat dengan masyarakat setempat, pihak industri, ibu-bapa pelajar, pihak NGO, badan Kerajaan, agensi swasta dan sebagainya untuk sama-sama membantu ILP Kuala Langat melahirkan tenaga kerja mahir Negara yang kompeten yang mempunyai nilai moral yang tinggi seiring dengan misi Negara dalam melahirkan modal insane berkualiti.

Sejajar dengan misi nasional kedua, melahirkan modal insane yang memiliki minda kelas pertama yang berpengetahuan dan inovasi, pendidikan latihan kemahiran kepada rakyat Malaysia merupakan antara agenda utama dalam pembangunan sesebuah Negara. Memandangkan keperluan Negara terhadap pekerja berkemahiran yang tinggi, pembangunan sumber manusia dalam bidang kemahiran teknikal menjadi agenda utama pihak kerajaan khususnya kepada Kementerian Sumber Manusia. Penerimaan masyarakat terutama ibu-bapa terhadap keperluan dan kebaikan latihan kemahiran kepada anak-anak muda masa kini adalah diharapkan. Adalah menjadi objektif utama penubuhan ILJTM seperti ILP Kuala Langat ini melaksanakan program latihan kemahiran ke arah mengeluarkan tenaga mahir yang berdaya saing terutama untuk pelajar lepasan sekolah sebagai persediaan ke alam pekerjaan dan juga pekerja industri mendapatkan latihan kemahiran lanjutan yang berterusan sejajar dengan teknologi semasa. Impak kepada latihan kemahiran ini adalah lahirnya tenaga kerja mahir yang kompeten yang merupakan asset terpenting bagi melestarikan dan menjayakan misi nasional ini.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Untuk mencapai hasrat kerajaan dalam melahirkan tenaga mahir negara, selain daripada kemahiran teknikal pelbagai latihan kemahiran berbentuk softskill dilaksanakan bagi melengkapkan pelajar yang mempunyai nilai ‘employability’ iaitu kemahiran pembelajaran, kemahiran mengurus diri, kemahiran berkomunikasi dan juga kemahiran berpasukan untuk membantu pelajar menjadi seorang pekerja atau pengusaha yang berkualiti. Oleh yang demikian kerjasama pihak industri luar dalam latihan kemahiran amat penting agar latihan melalui work based learning dapat didedahkan kepada pelajar, kepakaran dan kemudahan yang ada pada kedua belah pihak dapat dikongsi bersama serta boleh mengelakkan berlakunya mismatch bidang pekerjaan dalam industri luar dengan institusi latihan kemahiran. Oleh yang demikian usaha ILP Kuala Langat untuk bekerjasama dengan pihak YB Production Sdn. Bhd. Dalam bidang IT Multimedia amat dialu-alukan kerana bidang latihan kemahiran berkenaan merupakan satu platform dalam menjana komoditi industri multimedia yang lebih kreatif. Usahasama seperti ini boleh membantu dalam usaha mendapatkan kepakaran dan kemahiran dalam pengurusan, penggunaan, penyelenggaraan perlatan audio visual dan latihan kepada pelajar-pelajar khasnya dari ILP Kuala Langat yang mempunyai nilai komersial diluar.

JTM juga telah banyak melaksanakan program usahasama dan kerjasama dengan pihak industri dalam pelbagai bidang kemahiran seperti MOU dengan SIRIM Berhad bagi Latihan Bidang Advanced Material, MOU dengan NADI(AIROD) dalam bidang Teknologi Penyelenggaraan Kapal Terbang dan beberapa kerjasama lagi. Kesungguhan ini menunjukkan ILJTM sentiasa cuba mendekati pihak industri dalam usaha memenuhi keperluan industri terutama dalam proses pembangunan kurikulum dan sukatan latihan yang dibangunkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Kini arus teknologi maklumat telah menjana landskap dunia dengan merubah system ekonomi Malaysia daripada berlandaskan pengeluaran atau P-Ekonomi kepada ekonomi berlandaskan pengetahuan atau K-Ekonomi. Sains dan teknologi adalah sangat penting dalam pembangunan kea rah K-Ekonomi. Melalui K-Ekonomi kebijaksanaan akal fikiran bagi menggunakan maklumat menjadi teras utama yang menentukan arus perkembangan dan kemajuan ekonomi sesebuah Negara. Segala apa yang perlu diketahui berada di hujung jari. Segala kemudahan ICT ini ada disediakan di ILP ini. Oleh yang demikian dalam menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi, pelajar perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran, ilmu dan cirri-ciri peribadi unggul supaya dapat bersaing dan merebut banyak peluang agar tidak ketinggalan dalam persaingan dunia tanpa sempadan ini.

Sehubungan itu, bagi memperkasakan pembangunan dan latihan kemahiran Negara, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran juga akan terus berusaha di dalam pembangunkan program latihan yang memenuhi kehendak dan keperluan industri. Dalam masa yang sama pembangunan tenaga pengajar juga diberi perhatian agar ILJTM berupaya membentuk tenaga mahir Negara yang kompeten perlu ditingkatkan dengan lebih agresif. Hanya tenaga pengajar yang mahir, kompeten dan inovatif sahaja mampu mengadun dan membentuk para pelajar menjadi seperti mereka malah lebih baik lagi dengan didikan dan panduan yang betul. Tenaga pengajar mempunyai perana  besar dalam melahir tenaga kerja yang berpengetahuan (k-worker) untuk membangunkan industri berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) supaya Negara boleh bersaing dipasaran global. 

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Untuk mencapai hasrat kerajaan agar melahirkan tenaga kerja yang mahir, kita perlulah menyusun strategi jangka panjang untuk mengekalkan pertumbuhan minat serta bilangan pelajar yang meminati pengajian mereka dalam bidang teknologi berkemahiran. Peranan ibu-bapa, media massa, media-media elektronik juga merupakan faktor utama untuk membentuk budaya masyarakat berkemahiran.

Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan dalam memenuhi permintaan kepada tenaga mahir. Pengaruh globalisasi, liberalisasi ekonomi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ke atas segenap aspek kehidupan kita kini amat ketara. Cara kita bermasyarakat, bekerja dan berurusan telah dan akan berterusan berubah dengan pesatnya melalui perkembangan tersebut. Salah satu kayu ukur keberkesanan sesuatu program latihan yang dikendalikan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia ialah bagaimana penerimaan majikan atau industri terhadap pelajar ILJTM di alam pekerjaan sebenar. Inilah kemuncak sesuatu latihan yang dianjurkan kerana pihak Kementerian Sumber Manusia dan kami peka kepada permintaan dan keperluan sebenar di luar sana. Pihak JTM sendiri responsive kepada keadaan semasa dan boleh menyesuaikan dengan keadaan tersebut agar latihan yang dikendalikan akan menyebabkan graduan ILJTM diterima baik dan memenuhi keperluan majikan. Oleh yang demikian hubungan berterusan oleh pihak majikan/ industri dengan pihak ILJTM  dan sokongan mereka terhadap bidang latihan kemahiran perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa agar faedahnya dapat dinikmati bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada ILP Kuala Langat kerana dapat menjayakan hari terbuka pada hari ini dengan jayanya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jemputan terutama ibu-bapa pelajar, wakil industri dan semua pihak yang turut memeriahkan majlis ini. Semoga kerjasama semua pihak hari ini mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala Dengan harapan ini, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Hari Terbuka ILP Kuala Langat Tahun 2009.

Sekian, wabillahi taufikwalhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Last Updated ( Wednesday, 05 August 2009 22:56 )