Ucapan Yang Berhormat Senator Dato’ Maznah Mazlan
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Kementerian Sumber Manusia
Sempena Majlis Perasmian Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan 2009
Anjuran Bersama
Pusat Kaunseling dan Pembangunan Pelajar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Dengan Kerjasama Jabatan Tenaga Kerja
Kementerian Sumber Manusia
Terima kasih saudari Pengacara Majlis
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
Y.Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh bin Dalimin
Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Y. Berbahagia, Prof Dr. Rugayah binti Mohamed
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Yang Dihormati Dato’ Sheikh Yahya Sheikh Mohd
Timbalan Ketua Pengarah
Kementerian Sumber Manusia
Yang Dihormati Puan Rozita binti Bahari
Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja
Kementerian Sumber Manusia
Yang Berusaha Dr. Asri Selamat
Pengarah Pusat Kaunseling dan Pembangunan Pelajar
Barisan Pegawai-pegawai Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Wakil Agensi Kerajaan dan Swasta
Jawatankuasa Karnival Kerjaya dan Keusahawanan 2009 dan Pelajar-pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Para Hadirin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atas kesudian menjemput saya ke Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan 2009 anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHOM) dan JTK.
Saya dimaklumkan bahawa Karnival Kerjaya dan Keusahawanan ini merupakan acara tahunan Universiti Tun Hussein Onn yang bertujuan untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada graduan, bakal-bakal graduan serta masyarakat sekitarnya terhadap peluang-peluang kerjaya yang boleh mereka ceburi. Manakala penglibatan Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dalam Karnival ini dapat memberi peluang kepada graduan mencari pekerjaan melalui system Electronic Labour Exchange (ELX) yang diperkenalkan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia (KSM) sendiri.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas, khususnya kepada pegawai-pegawai dan kakitangan UTHOM, Johor dan Jabatan Tenaga Kerja Johor yang telah berganding bahu dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menganjurkan majlis ini seterusnya memastikan majlis ini berjalan lancer dan dapat mencapai matlamatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bertanggungjawab memberikan pendidikan dan latihan asas yang secukupnya untuk membolehkan pelajar menimba ilmu dalam bidang kejuruteraan, multimedia, pengurusan dan pendidikan. Saya difahamkan, antara objektif kualiti Universiti ini ialah untuk memastikan semua program yang ditawarkan memenuhi kehendak pasaran dan diiktiraf oleh badan professional atau agensi berkaitan bagi melahirkan graduan yang berketrampilan dan mempunyai daya saing yang tinggi dalam bidang aplikasi sains dan teknologi.
Sejajar dengan itu, penganjuran carnival ini amat bertepatan dalam membantu dan memainkan peranan penting untuk membuka peluang pekerjaan kepada graduan di Universiti ini khasnya dan masyarakat setempat amnya. Penganjuran Karnival Kerjaya yang lebih dikenali di Kementerian Sumber Manusia sebagai program 3P iaitu Program Penempatan Pekerjaan ini diharapkan dapat memberi peluang kepada golongan pencari kerja untuk bertemu secara terus dengan bakal majikan bagi mendapatkan informasi dan seterusnya dapat memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak, kemahiran dan kelulusan yang dimiliki. Ia merupakan salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk membantu memudahkan pencari kerja mendapatkan pekerjaan sekaligus dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran di Negara ini.
Disamping itu, Karnival ini juga diharapkan dapat membantu majikan mendapatkan calon pekerja untuk mengisi kekosongan di dalam organisasi mereka. Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Hadirin dan Hadirat sekalian,
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 650 juta di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 2009, bagi membolehkan Kementerian Sumber Manusia memberntuk dan melaksanakan beberapa program bagi membantu pekerja yang diberhentikan, siswazah, belia menganggur serta majikan semasa kegawatan ekonomi. Antara program-program yang dilaksanakan ialah Program Penempatan Pekerja, Program Latihan dan Pengekalan Pekerja dan Program Penggantian Pekerja Asing kepada Pekerja Tempatan.
Pada masa yang sama Kementerian juga telah meluluskan peruntukan bagi ‘Program Train and Place’ bagi pekerja diberhentikan dan graduan yang menganggur. Setiap Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia juga menawarkan peluang-peluang latihan kemahiran kepada golongan sasaran tertentu.
Objektif program ini antara lain adalah untuk menggerakkan jentera Kementerian Sumber Manusia dan pihak majikan mengisi kekosongan jawatan dengan segera. Disamping itu, pelbagai usaha penempatan kepada pencari kerja telah dilaksanakan dengan mengadakan kerjasama erat bersama rakan kongsi pekerjaan (employment partners) di kalangan majikan dan agensi pekerjaan swasta.
Program ini bertujuan memperkenal dan menggalakkan Latihan Kemahiran dikalangan pencari kerja serta pekerja-pekerja yang terlibat dengan pemberhentian pekerja dan golongan sasaran lain melalui aktiviti yang dilaksanakan oleh KSM. Penganjuran program seumpama ini menjadi Pusat Khidmat Setempat bagi membolehkan pelanggan KSM mendapatkan maklumat secara lebih pantas dan bersepadu.
Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan skim dan insentif tertentu bagi membantu golongan pekerjaan dan majikan yang menerima kesan akibat krisis ekonomi yang melanda. Kerajaan juga telah mencadangkan pengecualian cukai diberi ke atas pampasan yang diterima akibat kehilangan pekerjaan, berkuatkuasa serta merta. Selain itu, kerajaan juga amat prihatin dengan keadaan pekerja yang telah diberhentikan, dengan memberi kelonggaran kepada mereka yang diberhentikan kerja mulai 1 Julai 20008, untuk menjadualkan semula bayaran pinjaman perumahan dengan pihak bank.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sehingga kini, pihak Kementerian telah menubuhkan 22 buah Pusat JobsMalaysia. Pusat ini merupakan puhat sehenti di mana majikan yang memerlukan tenaga pekerja dan pencari kerja yang berdaftar dipadankan agar kekosongan pekerjaan dapat diisi dengan cepat dan mudah. Melalui pusat khdimat setempat ini juga, iainya membolehkan pelanggan Kementerian Sumber Manusia mendapatkan maklumat secara lebihpantas dan bersepadu. Portal JobsMalaysia membolehkan pencari kerja membuat permohonan pekerjaan manakala majikan pula boleh menguruskan permohonan pekerjaan yang diterima. Semua kemudahan yang disediakan adalah percuma.
Sejak Portal ini diperkenalkan pada tahun 2002, lebih 20 juta pelawat telah melayari portal ini setiap hari. Data menunjukkan seramai 15 ribu orang melayari portal ini setiap hari. Data menunjukkan pada 1 Januari 2009 hingga 9 Julai 2009, sebanyak 10,515 penempatan kerja telah diisi. Oleh itu, saya menyeru kepada para majikan agar menggunakan sepenuhnya system ini untuk mengiklankan kekosongan jawatan serta mencari calon-calon pekerja yang dicapai sama ada di dalam atau di luar Negara dengan melayari laman web www.jobsmalaysia.gov.my.
Hadirin dan hadirat sekalian,Harapan saya kepada pencari kerja terutamanya lepasan siswazah agar tidak terlalu memilih pekerjaan dan hendaklah sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui peluang-peluang yang diberikan. Perkara ini amat penting bagi memastikan tiada ruang dan peluang untuk diambil oleh rakyat asing dalam mengisi kekosongan pekerjaan yang sedia ada.
Ingin saya ingatkan di sini bahawa dalam menuju persaingan sengit mendapatkan pekerjaan, saya mencadangkan pencari kerja untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Umum mengetahui 9/10 himpunan rezeki adalah daripada perniagaan tetapi 9/10 lepasan sekolah dan Institut Pengajian Tinggi menumpukan bidang pekerjaan lain.
Justeru, kerajaan dengan sedaya upaya bertindak melaksanakan pelbagai langkah bijak, tersusun, dan efektif bertujuan menggalakkan para siswazah yang baru bergraduat, siswazah menganggur dan mereka yang diberhentikan kerja menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Kita perlu sedar bahawa peluang sentiasa ada malah kita harus mengucapkan terima kasih kepada Y.A.B Perdana Menteri kerana antara satu daripada 11 hadiah sempena 100 hari pemerintahan beliau membabitkan bidang keusahawanan. Ia membabitkan penambahan peruntukan TEKUN sebanyak RM 150 juta dan RM 15 juta untuk usahawan muda dari kaum India.
Malah sebelum ini pun, terdapat agensi-agensi di bawah beberapa Kementerian misalnya MARA menyediakan pelbagai program pembangunan keusahawanan antaranya latihan keushawanan, skim runding cara, kemudahan pengeluaran dan perintisan, skim promosi dan pemasaran, program usahawan teknikal (PUTEK) dan beberapa lagi program di bawahnya.
Walau bagaimanapun, sebelum memulakan bidang keusahawanan, haruslah berusaha mempelajari bagaimana mengatasi cabaran-cabaran mendatang, persediaan-persediaan sewajarnya yang perlu dilakukan. Kebijaksanaan, kekuatan mental, fizikal, ilmu pengetahuan haruslah diadun bersama agar bidang yang diceburi ini tidak menemui kegagalan ataupun hanya sekadar “hangat-hangat tahi ayam” sahaja. Justeru, manfaatkan segala peluang yang ada, berusahalah menggembleng tenaga, dapatkan ilmu dan maklumat yang tersedia Insya Allah, pasti berjaya!
Akhir kata, saya mengharapkan agar semua pihak berganding tenaga dalam usaha memastikan program yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar objektif untuk membantu pencari kerja dikalangan warga tempatan mencapai matlamatnya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirahim saya dengan ini merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UTHOM 2009.
Sekian, Wabillah hi taufik wal hidayah.
Assalamualaikum w.b.t















Visitor Statistics | Currently Online : 64 |