Login Form



SEMINAR MOTIVASI DAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN ANAK-ANAK PENERIMA FAEDAH PERKESO 2009

Print

TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT SENATOR DATO’ MAZNAH MAZLAN
TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SEMINAR MOTIVASI DAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN ANAK-ANAK PENERIMA FAEDAH PERKESO 2009
DI UITM LENDU, MELAKA PADA 1 JUN 2009


Saudara/I Pengerusi Majlis,

Yang Berbahagia - Encik K. Selvarajah
Ketua Eksekutif PERKESO

Yang Berbahagia - Tuan Haji Aleyes Meh
Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO

Yang Berusaha - Encik Mohamad Asri Ngosman
Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Hal Ehwal Korporat

Yang Berusaha-  Datuk Profesor Madya Dr. Mizan bin Haji Hitam
Pengarah Kampus Universiti Teknologi MARA Melaka

Encik Jalaludin bin Abdul Aziz
Pengarah Negeri,
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara bagi Negeri Melaka

Tuan Haji Isa bin Haji Abu
Pegawai Pelajaran Daerah ,
Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Melaka

Ketua-ketua Jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia peringkat Negeri Melaka
Tetamu-tetamu jemputan, Rakan-rakan Media,

Seterusnya peserta-peserta Program Seminar Motivasi dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan Anak-Anak Penerima Faedah PERKESO bagi tahun 2009.




Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk  merakamkan penghargaan kepada pihak PERKESO kerana sudi menjemput saya hadir di majlis ini dan seterusnya merasmikan Program Seminar Motivasi dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan Anak-Anak Penerima Faedah PERKESO bagi tahun 2009.

Sememangnya saya amat menghargai kesempatan seperti ini, kerana ia membolehkan saya bertemu mesra dengan peserta-peserta program ini yang terdiri dari anak-anak pencarum PERKESO.  Inisiatif PERKESO ini patutlah dipuji kerana ia menunjukkan sikap keprihatinan terhadap pentingnya menimba ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan akademik khususnya bagi anak-anak penerima faedah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak  lama lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya difahamkan, tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi semangat dan motivasi kepada peserta-peserta yang akan menduduki peperiksaan SPM pada penghujung tahun 2009 ini. Program ini, diharap  dapat memberi kesedaran kepada peserta-peserta tentang betapa pentingnya berusaha ke arah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM kerana ia menjadi titik tolak yang akan mencorakkan masa depan mereka.   Saya menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anak penerima faedah PERKESO yang hadir agar mengambil peluang sebaik mungkin menerusi program ini dalam meningkatkan tahap kefahaman dan pengetahuan sebagai bekalan menghadapi peperiksaan SPM nanti.

Tuan-tuan dan puan-puan ,

Kecemerlangan pendidikan anak-anak  adalah perkara yang sering dititik beratkan oleh Ibubapa bagi memastikan masa depan yang cerah kepada anak-anak mereka. Begitu juga pihak Kerajaan menerusi sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri sentiasa merangka perancangan pendidikan yang terbaik  dan strategik agar anak-anak dapat menimba pelajaran dalam suasana yang kondusif, frasarana yang mencukupi, agar anak-anak dapat memberikan tumpuan penuh pada proses pembelajaran. Proses pembelajaran pula perlu berlaku seiring dengan usaha yang tekun dan gigih oleh anak-anak semasa menimba ilmu pengetahuan.  Peperiksaan pula adalah kayu ukur yang digunakan bagi menguji tahap kefahaman dan ilmu pengetahuan anak-anak yang  seterusnya menjadi pengukur dalam menentukan tahap kecemerlangan akademik seseorang samada berada pada tahap cemerlang, baik, sederhana atau lemah.  Dalam proses menghadapi peperiksaan, selain mengikuti proses pembelajaran dalam kelas, anak-anak juga perlu bijak mendapatkan sumber-sumber alternatif bagi melengkapkan diri ke arah pelajar cemerlang. Sumber-sumber alternatif ini  boleh diperolehi menerusi pelbagai sumber antaranya ialah bahan bacaan tambahan, internet, tuisyen dan juga program-program motivasi dan kecemerlangan akademik seperti yang dianjurkan pada  hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Usaha yang dilakukan oleh PERKESO pada hari ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya kepada anak-anak pencarum PERKESO yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Ini jelas  memperlihatkan keprihatinan PERKESO dalam mengambil tahu dan cuba membantu anak-anak pencarum PERKESO memperoleh kejayaan cemerlang dalam akademik untuk masa depan mereka dan keluarga mereka.

Saya difahamkan sejak program ini dilaksanakan pada tahun  1995 sehingga kini seramai 11,700 peserta dari kalangan anak-anak penerima faedah PERKESO telah mengikuti program ini.  Berdasarkan jumlah penyertaan tersebut, saya percaya program murni ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan anak-anak penerima faedah PERKESO. Dan bagi penyertaan kali ini saya difahamkan pihak PERKESO terpaksa menghadkan jumlah peserta  kepada 1200 orang sahaja dan melaksanakan dibeberapa buah tempat iaitu Melaka, Dungun, Arau dan Segamat. Di Melaka sahaja pada hari ini seramai 300 orang peserta mengikuti program ini. Kepada anak-anak yang terpilih mengikuti program seminar pada hari ini, ingatlah bahawa peluang mengikuti program ini sebenarnya bukanlah mudah tetapi anak-anak patut berasa bersyukur dan bertuah kerana telah berjaya terpilih. Tambahan pula segala kos penganjuran program ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh PERKESO.  


Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Pada program hari ini, PERKESO telah menyediakan fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada guru-guru yang cemerlang dan pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi bimbingan dan pendidikan terbaik kepada para peserta.  Mereka ini dipilih oleh Pejabat Pendidikan Negeri Melaka, dan akan memberikan panduan berguna, membantu para peserta dalam menyedia dan merangka jawapan yang baik untuk subjek pelajaran berkaitan bagi persediaan menghadapi peperiksaan.

Saya juga dimaklumkan pada hari ini PERKESO  turut mendapat kerjasama dari lain-lain agensi seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara yang menyediakan sesi kaunseling dan pembangunan diri, dan tidak dilupakan juga pihak Karangraf yang telah bermurah hati menyumbangkan buku-buku bagi menjayakan program ini.   Kepada agensi dan syarikat tersebut terima kasih atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Kepada anak-anak sekelian, gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya dengan mengikuti program ini  dan belajar berseungguh-sungguh.  Sekiranya anak-anak mencapai keputusan baik dan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah nanti,  anak-anak berpeluang untuk memohon bantuan faedah pendidikan PERKESO.

Tuan-tuan dan puan-puan ,

Faedah Pendidikan PERKESO adalah merupakan suatu kemudahan  pendidikan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa  kepada anak-anak tanggungan  seseorang  berinsurans yang menerima faedah  secara berkala yang memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan oleh PERKESO.  Bagi merealisasikan usaha tersebut PERKESO telah mewujudkan satu tabung dan memperuntukan dana khas bagi tujuan tersebut.

Sejak Faedah Pendidikan PERKESO ini mula diperkenalkan pada  Mei 1997 sehingga  April 2009 PERKESO telah meluluskan sebanyak  79 juta ringgit  kepada 2,793 pemohon. Dari jumlah tersebut sebanyak 660 ribu ringgit jumlah pinjaman telah ditukar kepada biasiswa berdasarkan   pencapaian cemerlang anak-anak penerima faedah pendidikan yang memperoleh keputusan cemerlang Ijazah Kelas Pertama.  

Dari jumlah tersebut, jumlah penghutang yang telah selesai membayar balik pinjaman adalah 368 orang dengan kutipan bayaran  balik 4.9 juta ringgit.  Manakala jumlah penghutang dalam proses bayaran balik adalah seramai 2,364 orang  dengan jumlah keseluruhan bayaran balik yang sepatutnya diterima 34.1 juta ringgit.  Berdasarkan jumlah bayaran balik yang masih belum diterima itu, kesempatan ini saya menyeru kepada semua peminjam agar dapat melunaskan tangungjawabnya untuk membayar balik semula pinjaman tersebut bagi membolehkan PERKESO mengukuhkan dana pusingan tabung pinjaman pendidikannya untuk manfaat peminjam baru pada masa hadapan.  

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya berharap Program Seminar Motivasi dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan Anak-Anak Penerima Faedah PERKESO pada hari ini berjalan dengan jayanya. Kesempatan ini saya mengambil peluang untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dan terima kasih juga diucapkan kepada PERKESO kerana telah memberi peluang dan penghormatan  kepada saya merasmikan program pada hari ini. Akhir kata saya dengan lafaz  BISMILLAHIRAHMANIRAHIM.....  merasmikan PROGRAM SEMINAR MOTIVASI DAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN BAGI ANAK-ANAK PERKESO BAGI TAHUN 2009.

Sekian Terima Kasih.


YB SENATOR DATUK MAZNAH MAZLAN
TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA

 

STATISTIK PINJAMAN PENDIDIKAN UNTUK TEMPOH MEI 1997 SEHINGGA 30 APRIL 2009

Bil.
Perkara
Bilangan
Jumlah (RM)
1
Pinjaman Telah Diluluskan
2,793
79,542,667.00
2
Pinjaman Telah Ditukar Biasiswa
15
660,986.58
3
Pinjaman Telah Ditukar Hapuskira
10
168,336.43
4
Peminjam Masih Dalam Pengajian
347
-
5
Penghutang Dalam Proses Bayaran Balik
2,364
34,136,317.25
6
Penghutang Selesai Membayar Pinjaman
368

4,945,238.38

 

7

 

Jumlah Keseluruhan Bayaran Balik Yang Sepatutnya Diterima (RM)

 

Jumlah Bayaran Balik Yang Diterima (RM) /%

 34,136,317.25
18,312,691.74 (54%)