Login Form



MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PERTANDINGAN KEMAHIRAN INDUSTRI, INOVASI DAN KREATIVITI

Print

DERAF UCAPAN
YB TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA

DI ADTEC SHAH ALAM JAM 9.00 PAGI

UNTUK MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH
PERTANDINGAN KEMAHIRAN INDUSTRI, INOVASI DAN KREATIVITI
ANJURAN KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

SEMPENA PENGLIBATAN JABATAN-JABATAN KERAJAAN
BAGI SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN
1430 H/ 2009 M PADA 16 APRIL 2009

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1.     Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana di pagi ini buat julung-julung kalinya Kementerian Sumber Manusia turut bersama-sama mengimarahkan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1430 Hijriyyah bersamaan 2009 Masihi. Hari ini genap 1,430 tahun kita meraikan sambutan peristiwa hijrah junjungan tercinta Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Satu wadah anjakan paradigma yang berterusan ke arah penambahbaikan dan kecemerlangan yang syumul. Satu titik sejarah yang menjadi pemangkin perubahan kepada pemasyhuran Islam ke serata alam. Justeru Kementerian Sumber Manusia turut terpanggil  untuk mengimarahkan sambutan maal hijrah di peringkat Kementerian Sumber Manusia dengan tema ”Kemahiran Pemangkin Hijrah”.

3.       Di dalam konteks ini, Perayaan Sambutan Maal Hijrah oleh Kementerian Sumber Manusia merupakan manifestasi dalam usaha memartabatkan modal insan Malaysia melalui wadah latihan kemahiran. Kementerian percaya kecemerlangan hidup bukan hanya mampu dikecapi oleh mereka yang menggulung ijazah dari Menara gading, bahkan mampu juga dicapai oleh semua insan yang mempunyai semangat hijrah yang jitu. Dalam hal ini, latihan kemahiran menjadi pemangkin hijrah, agar mereka yang bukan dari aliran akademik mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, dan tidak lagi dipandang sebagai warga kelas kedua.

4.     Untuk itu sambutan Maal Hijrah Peringkat Kementerian melahirkan inisiatif dalam menganjurkan pertandingan Kemahiran Industri, Inovasi dan Kreativiti.  Maal Hijrah membuka persepsi baru dalam lembaran anjakan paradigma ke arah pembentukan kecemerlangan insan. Selaku peneraju dalam bidang pembangunan dan pengurusan sumber manusia bertaraf dunia, Kementerian senantiasa berusaha untuk membangunkan sumber tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan dan kompetitif. Untuk itu landasan ke arah kehidupan cemerlang juga mampu dikecapi oleh mereka yang berada di dalam lapangan latihan kemahiran. Malah, lulusan latihan kemahiran juga diyakini mampu menyumbang ke arah kecemerlangan ummah.

5.    Pertandingan Kemahiran Industri, Inovasi Dan Kreativiti telah dibuka kepada 3 kategori bidang kemahiran iaitu Bidang Kemahiran Mekanikal, Bidang Kemahiran Elektrik dan Elektronik dan Bidang Kemahiran Teknologi Maklumat.  Setiap penyertaan bertemakan kemahiran pemangkin hijrah bagi menghasilkan ciptaan yang kreatif dan inovatif serta dapat memacu perubahan dan penambahbaikan persekitaran kerja dan industri. Pertandingan ini telah menghimpunkan penyertaan dari seluruh institusi latihan awam dan swasta. Inilah landasan rantaian ukhuwwah iaitu strategic networking yang mampu memacu kesepaduan dalam perbuatan, kreativiti dalam penghasilan dan penambahbaikan berterusan dalam kecemerlangan. Saya yakin inilah generasi yang akan memantapkan barisan Ulul Albab yang akan membawa industri dan negara tercinta ke arah mercu tanda negara yang terbilang. Sesungguhnya usaha ke arah penambahbaikan yang berterusan bagi mengubah nasib ke arah yang lebih baik adalah selaras dengan tuntutan agama. Firman Allah SWT;

 “Sesungguhnya Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri…” Surah Ar-Rad Ayat 11.

6.   Menyingkap kembali peristiwa Hijrah tatkala junjungan besar Rasulullah SAW tekad mendepani pelbagai tentangan dan cabaran sehingga tibanya Baginda di Kota Madinah Al-Munawarah pastinya menggamit sanubari. Betapa Hijrah Rasulullah SAW telah membuka lembaran baru dalam sejarah Islam dengan menerobos sempadan geografi, darjat diri, sentimen dan fahaman kini diganti semangat ukhuwah Islami yang sangat erat antara kaum Muhajjirin dan Ansar yang terbentuk atas prinsip al-adli wal ihsan.

7.   Namun tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah. Cabaran Hijrah kini berubah bentuk, dimensi dan dinamikanya. Dalam senario semasa, negara kini berdepan dengan cabaran ekonomi dunia. Tiada negara yang tidak merasa tempiasnya. Bermula dengan krisis sub-prima di Amerika Syarikat pada pertengahan 2007, krisis ekonomi terus melanda negara-negara lain seperti Jepun, Korea dan juga Kesatuan Eropah. Walaupun ekonomi berkembang di Negara China dan India , namun perkembangan ini tidak dapat menampung kemelesetan yang berlaku di Negara-negara tersebut. Negara-negara ini telah mengalami penguncupan ekonomi yang terburuk semenjak the Great Depression pada 1930an.

8.   Dengan semangat Maal Hijrah, kita yakin dan percaya usaha mendepani cabaran ini akan mampu dihadapi bersama. Kerajaan amat prihatin dengan keperitan yang dihadapi oleh golongan pekerja yang diberhentikan, kesukaran yang ditanggung oleh siswazah menganggur dan keresahan yang turut dirasai oleh keluarga mereka. Untuk membantu mereka ini, kerajaan melalui rang undang-undang perbekalan tambahan telah mengumumkan pakej rangsangan kedua dalam usaha mewujudkan sebanyak 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta. Pakej Rangsangan berjumlah 60 bilion ringgit untuk  dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, iaitu 2009 dan 2010.

9.   Di sinilah Kementerian Sumber Manusia telah diberi mandat yang besar untuk membantu Malaysia keluar dari krisis ini. Melalui pakej rangsangan ini peranan secara langsung Kementerian Sumber Manusia adalah;

 i)    Menambah bilangan peserta di bawah Program Latihan Khusus dan Program Latihan Semula kepada pekerja yang telah diberhentikan dan Skim Latihan Dual Nasional untuk memberi kemahiran kepada golongan yang masih bekerja;

ii)   Menambah program latihan dengan kerjasama pertubuhan industri dan syarikat-syarikat yang terlibat, seperti elektrik dan elektronik, pengimpalan, robotik dan pembinaan. Di samping itu, lebih banyak latihan kemahiran industri dan teknikal akan dilaksanakan oleh Pusat Latihan Kemahiran di semua negeri bagi 10,000 orang pelatih;

iii)   Mewujudkan 22 JobsMalaysia Centre dan menambah baik 109 pusat yang sedia ada. Pusat ini akan ditempatkan di lokasi tumpuan awam, termasuk di kompleks membeli-belah, untuk memudahkan akses pekerja dan majikan bagi mendapatkan penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan maklumat mengenai peluang latihan yang disediakan. Di samping itu, lebih banyak karnival pekerjaan berskala besar di peringkat kebangsaan akan diadakan bagi memudahkan penganggur dan pekerja yang diberhentikan mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.

11.    Sesungguhnya jalan di depan kini penuh dengan cabaran yang bakal mencabar semangat juang dan nilai. Namun dengan kembali menghayati hijrah  Rasullah SAW, niat dan usaha  yang padu untuk berubah dengan memperbaiki diri,  sudah pasti akan menjayakan sebarang perancangan dan memperbaiki nasib umat manusia

12.    Sempena sambutan Maal Hijrah ini marilah kita bersama-sama hidup bersatu padu dan bersaudara serta menjauhi benci membenci, fitnah memfitnah, penganiayaan, kezaliman, noda dan maksiat serta terus memperbaiki diri ke arah lebih baik, cemerlang, gemilang lagi terbilang. Sesungguhnya Hijrah telah berjaya mengeluarkan umat daripada hidup bermusuhan dan perpecahan yang menyakitkan kepada kesatuan dan perpaduan ummah.Bermula daripada hijrah agung, tuntutan hijrah ke arah kebaikan dan kesempurnaan secara berterusan pada setiap masa merupakan cabaran umat terkini.

13.    Sehubungan itu, melalui semangat hijrah ini, umat Islam perlu merencanakan strategi dan tindakan yang bijak agar Islam itu dapat dimartabatkan di tempat yang selayaknya. Hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah SAW, tetapi penuh liku yang mengandungi hikmah budaya kerja bersistematik. Baginda menyusun strategi dengan menjalin hubungan terlebih dahulu dengan penduduk Madinah dan membuat Perjanjian Aqabah, menyatukan Ansar dan Muhajirin apabila berhijrah ke Madinah, menjalin persefahaman dengan puak Yahudi serta mewujudkan Piagam Madinah. Semua itu adalah antara langkah-langkah teratur yang memulakan tamadun awal kegemilangan umat Islam.

14.    Maka, sempena sambutan peristiwa Hijrah yang bersejarah ini, selain kita mengambil semangat hijrah untuk meningkatkan pencapaian masing-masing, marilah kita bersama-sama memperkuatkan perpaduan dan menggembleng tenaga menjalankan kewajipan sebagai khalifah di muka bumi ini. Mudah-mudahan kita berupaya memenui perintah Allah agar memakmurkan muka buminya. Semoga usaha kita melalui pertandingan ini akan mampu memartabatkan industri negara serta mencapai kejayaan yang diinginkan. Sekalung penghargaan buat semua yang telah menjayakan pertandingan ini. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga perjuangan kita akan sentiasa diberkati dan dilindungiNya.

Sekian.  Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Last Updated ( Friday, 08 May 2009 23:41 )