Click to listen highlighted text!Powered By GSpeech
Welcome to Portal Rasmi MOHR  Welcome to Portal Rasmi MOHR
Text Size

Pilih Bahasa

Gaji Minimum: Ia Satu Permulaan Yang Baik

Bernama: 11/05/2012

Gaji Minimum: Ia Satu Permulaan Yang Baik
 
KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) — Pengumuman pelaksanaan gaji minimum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas adalah satu pencapaian penting dalam struktur gaji yang akan memberi manfaat kepada ribuan pekerja di Malaysia.

Sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri, ia adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia, para pekerja diberikan gaji minimum antara RM800 dan RM900 sebulan bergantung kepada lokasi mereka bekerja, di mana ia akan memberi impak kepada lebih 33.8 peratus daripada keseluruhan pekerja yang pada masa ini berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

“Secara prinsipnya, saya pasti bahawa ini adalah satu tindakan tepat yang dilakukan,” kata beliau dalam laman blog beliau pada Isnin dan menyatakan bahawa kadar minimum itu diputuskan setelah mempertimbangkan beberapa faktor yang dicadangkan bank Dunia seperti kos sara hidup, indeks garis kemiskinan dan kadar pengangguran.

Tarikh mula pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan kelak.

Banyak pihak melihat dasar itu adalah satu permulaan yang baik kerana ia akan disemak setiap dua tahun bagi mengambil kira apa jua perubahan yang berlaku.

Di sebalik perdebatan berterusan mengenai jumlah minimum yang ditetapkan, ramai menyatakan bahawa mereka memahami penjelasan Najib bahawa kerajaan perlu berhati-hati untuk menentukan keseimbangan antara menjadi pekerja mendapat upah sewajarnya dan menggalakkan majikan terus menggaji pekerja.

Gaji minimum itu ditetapkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang sebelum ini didesak banyak kesatuan sekerja serta aktivis dan pastinya adalah lebih adil untuk mereka melihat secara positif memandangkan apa yang mereka mahukan telah diperoleh.

Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata gaji minimum bukannlah satu tongkat sakti yang menyelesaikan semua masalah ekonomi yang dihadapi golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata kerajaan mempunyai kaedah lain untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti bantuan subsidi bernilai berbilian ringgit, pengagihan langsung bantuan tunai dan latihan bagi memberi kemahiran baru kepada mereka.

Adalah sesuatu yang mengelirukan bagi pekerja untuk berfikir dan berasakan bahawa gaji minimum itu bertujuan menjadikan golongan miskin beroleh pendapatan tinggi dalam sekelip mata kerana bukan itu matlamat dasar gaji minimum.

“Gaji minimum adalah satu penanda aras bagi menentukan bahawa gaji paling rendah yang diberikan tidak boleh kurang daripada apa yang ditentukan kerajaan. Sudah tentu, majikan boleh menawarkan gaji lebih tinggi jika mereka berpendapat pekerja mereka layak berdasarkan kelayakan dan kemahiran mereka,” katanya dalam satu artikel disiarkan dalam The Borneo Post.

Para pekerja dan majikan boleh berbeza pendapat, yang apapun adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Mereka yang berpendapatan rendah seharusnya bersyukur berikutan pelaksanaan dasar gaji minimum yang akan menjadi pendapatan minimum mereka dan bagi kebanyakan pekerja, ini bermakna satu peningkatan drastik gaji bersih mereka.

Namun, bagi kesatuan pekerja di Sabah dan Sarawak, ia bukanlah sangat terhadap dasar gaji minimun perlu dilaksanakan tetapi persoalan yang timbul adalah mengapa ia ditetapkan pada RM800, yang dianggap sesetengah pihak sebagai “sangat rendah”.

Hujah mereka adalah bahawa kos sara hidup di Sabah dan Sarawak adalah 15 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada tempat-tempat lain.

“Sementara penjawat awal menerima elaun wilayah, pekerja sektor swasta tidak menerima apa-apa dan gaji pekerja di kedua-dua negeri kekal rendah.

“Contohnya, jurujual di pasar raya berpendapatan kurang daripada RM500, dan pekerja di restoran makanan segera di sebuah pusat beli-belah terkenal diKuching dibayar hanya RM2.30 sejam, semuanya adalah di bawah garis kemiskinan RM962,” kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Mohamad Ibrahim Hamid.

Beliau berkata kadar yang ditetapkan bagi Sarawak rendah kerana majikan tidak berupaya membayar lebih sebagaimana majikan di Semenanjung makala pada dua dekad lepas kenaikan gaji di negeri itu jauh ketinggalan daripada peningkatan produktiviti.

“Maka adalah salah untuk berdebat bahawa kita tidak boleh menetapkan gaji minimum terlalu tinggi kerana syarikat-syarikat membayar begitu rendah sehingga sekarang,” katanya dipetik sebagai berkata dalam akhbar tempatan di Sarawak.

Menteri Sumber Manusia menjelaskan perbezaan gaji minimum antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah serta Labuan adalah berdasarkan kajian terperinci termasuk Bank Dunia, dengan kadar dikira berasaskan faktor ekonomi dan statistik.

Kementerian menggunakan lima kriteria bagi menentukan gaji minimum termasuk indeks garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, produktiviti dan kadar pengangguran yang digunakan sebagai formula iaitu RM956.70 bagi Semenanjung manakala Sabah dan Labuan (RM771.58) serta Sarawak (RM781.21).

Jika gaji minimum ditetapkan pada RM900 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan, dikhuatiri majikan, terutamanya syarikat kecil, berhadapan dengan masalah untuk terus beroperasi atau gulung tikar, dan akhirnya pekerja hilang pekerjaan mereka.

Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa gaji penengah bagi Semenanjung adalah RM1,134 berbanding RM738 (Sarawak) dan RM577 (Sabah dan Labuan), dan adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan gagal membela nasib pekerja di kedua-dua negeri berkenaan.

Sumber : Bernama

Presets
Main Style . .
Patterns
Accent Color
Apply
Click to listen highlighted text!Powered By GSpeech