Privacy Policy | Security Policy | Copyright Notice | Disclaimer

 

OUR STORY

Subjek Keselamatan Sosial @ ILJTM

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Modul Pembelajaran antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Ybrs Dr Mohd Gazali Abas telah diadakan pada 23 Oktober 2017 di Hotel Sri Pacific, PWTC.

Di bawah MoU tersebut, subjek Keselamatan Sosial dan Tanggungjawab Pekerja akan diajar kepada semua pelajar tahun akhir peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan di semua 32 institut latihan di bawah JTM bermula Januari 2018, yang melibatkan 27 jam kredit. Langkah itu bertujuan memberi latihan dan pendedahan secara mendalam bagi meningkatkan pengetahuan tenaga pengajar berkaitan keselamatan sosial dan tanggungjawab pekerja untuk diajar kepada pelajar sebagai persediaan sebelum melangkah ke dunia kerjaya.

KSM Diiktiraf 5 Bintang SKPPSM 2017

Kementerian Sumber Manusia telah menerima Pengiktirafan 5 Bintang Dalam Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia ( SKPPSM ) 2017. Ybhg Dato’ Mohd Elias bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha ( Operasi ) telah menerima bagi pihak Kementerian daripada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam Majlis Perasmian Persidangan Psikologi Modal Insan Negara anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam yang diadakan pada 9 Oktober 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya mencadangkan agar Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia diwujudkan bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat negara ini. Beliau berkata, ia penting bagi memastikan tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara diisi dengan individu-individu yang sentiasa berfikiran positif, matang dan mempunyai keupayaan berfikir.

 


Malaysia Raih 2 Gangsa @ WSC 2017

Rekod dan sejarah baru tercipta melalui 2 pingat gangsa yang dimenangi Malaysia di WorldSkills Abu Dhabi 2017. Dua peserta negara yang berjaya meraih pingat gangsa tersebut adalah Mohd Asyraff Yusni dari Kolej Universiti DRB Hicom dalam bidang teknologi automotif dan Lai Jia Yi dari Kolej Taylor dalam bidang masakan. Manakala 9 penyertaan telah memperolehi tahap Medallion, iaitu pencapaian melebihi tahap baik tertentu.

Majlis sambutan kontinjen Malaysia WorldSkills Abu Dhabi 2017 telah diadakan di Tingkat 3, KLIA pada 21 Oktober 2017 jam 11.00 pagi. Dalam majlis tersebut Mohd Asyraff diiktiraf sebagai peserta terbaik Malaysia. Majlis penyampaian pingat dan hadiah disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Ybhg Datuk Seri ( Dr ) Richard Riot Anak Jaem. Turut hadir Menteri Kerja Raya Ybhg Datuk Seri Fadillah Yusof. Kedua-dua mereka membawa pulang pingat gangsa WSC 2017, Wang tunai RM10,000 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

Walaupun sasaran untuk mendapatkan satu emas belum menjadi kenyataan, pencapaian Malaysia telah meningkat berbanding tahun 2015 di Sao Paulo yang hanya memenangi 1 Gangsa. Persaingan pertandingan lebih sengit dengan format pemarkahan lebih ketat. Semua peserta adalah juara bagi rakyat Malaysia. Terima kasih kerana bersaing dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.

Hari Sukan Keluarga @ 1KSM 2017

 

Bersempena dengan Hari Sukan Negara yang diadakan pada Sabtu Kedua bulan Oktober, Kementerian Sumber Manusia tidak ketinggalan turut menganjurkan Hari Sukan Keluarga @ 1KSM pada 14 Oktober 2017 di sekitar Bangunan Blok D3 dan D4, Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Kira-kira 600 kakitangan Kementerian serta keluarga telah hadir serta menyertai pelbagai acara yang dianjurkan. Ini termasuklah aktiviti berjalan kaki, berjogging, berbasikal, sukaneka, tarik tali dan mewarna.

Turut hadir Ybrs Dr KSU yang juga hadir bagi merasmikan program, Ybhg Dato’ TKSU ( Operasi ) dan TKSU ( Dasar ), Ketua Bahagian, Ketua Jabatan dan Agensi serta pegawai kanan lain. Ybrs Dr KSU juga telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan pada hari tersebut. Selain menggalakkan aktiviti sukan dan riadah, diharapkan agar Hari Sukan Keluarga @ 1KSM ini dapat mempereratkan perhuungan sesama anggota keluarga KSM.


TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!