Tarikh 1 Mei pada setiap tahun diisytiharkan sebagai hari cuti umum di negara ini sebagai pengiktirafan terhadap seluruh warga pekerja sama ada pekerja awam mahupun swasta. Hari Pekerja, Hari Buruh ataupun juga disebut Hari Pekerja Antarabangsa di peringkat global di mana masyarakat dunia meraikan dan mengiktiraf sumbang­an pekerja serta kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan mahupun kesatuan sekerja. Kebiasaannya sambutan Hari Pekerja di negara ini akan dimeriahkan dengan perhimpunan secara besar-besaran daripada pelbagai golongan pekerja mewakili organisasi masing-masing.

Di pihak kerajaan sambutan Hari Pekerja ini sering diterjemahkan sebagai wadah untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan ­golongan pekerja dan majikan terhadap pembangunan negara. Untuk itu, Kementerian Sumber Manusia ­mi­salnya menyediakan pelbagai kategori anugerah sebagai pengiktirafan antaranya, Anugerah Perdana Menteri untuk kecemerlangan sumber manusia, Tokoh Pekerja Negara bagi kategori kumpulan eksekutif, kumpulan bukan eksekutif dan juga ka­tegori orang kurang upaya (OKU).

 

Para majikan juga diberi pengiktirafan yang sewajarnya melalui beberapa anugerah seperti Anugerah Majikan 1Malaysia bagi kategori syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana serta GLC di sam­ping anugerah lain seperti Anugerah Majikan Berdaya Saing Glokal. Malah kesatuan sekerja yang sering menjadi payung naungan seluruh warga pekerja juga diberi pengiktirafan me­lalui Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang dan Harmoni bagi kategori sektor awam dan juga sektor swasta.

Ringkasnya, sambutan Hari Pekerja diadakan dengan matlamat untuk mengeratkan semangat kerjasama secara ‘tripartisme’ antara tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan juga pekerja.

Dalam konteks memartabatkan kebajikan dan keperluan warga pe­kerja, kerajaan dilihat secara ber­terusan melaksanakan pelbagai penambahbaikan agar kebajikan warga pekerja terus dijaga. Misalnya, penjawat awam terus menikmati pelbagai kelebihan termasuk peningkatan elaun dan gaji melalui penam­bahabaikan skim perkhidmatan secara berterusan. Boleh dikatakan hampir setiap tahun ada saja berita gembira untuk penjawat awam.

Hakikatnya matlamat untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak mampu dicapai andai tanggungjawab itu disandarkan kepada pihak kerajaan semata-­mata. Dalam hal ini ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja perlu bekerjasama supaya dapat merealisasikan hasrat itu.

Sesungguhnya keadaan ekonomi semasa amat memerlukan kelompok pekerja yang berkemahiran tinggi supaya dapat terus mempertahankan pencapaian ekonomi negara. Kita sedia maklum persekitaran ekonomi global kurang memberangsangkan. Negara kita turut menerima tempiasnya walaupun kerajaan ber­usaha keras untuk mempertahankan dan merancakkan kadar pertum­buhan ekonomi negara.

Hakikatnya, setiap seorang daripada kita mempunyai peranan yang signifikan dalam skop kerja masing-masing. Justeru kita perlu terus menambahkan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperlukan agar dapat menjadi tenaga kerja yang mahir dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini sekali gus akan mengurangkan tahap kebergantungan negara kita kepada tenaga kerja asing.

Bagi penulis, sudah tiba masanya untuk kita meletakkan titik noktah dalam isu kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing. Alasan klise yang sering kita dengar dari pihak majikan yang berhasrat untuk membawa masuk pekerja luar ialah pekerja tempatan kurang mahir dalam bidang-bidang tertentu. Persoalannya, apakah alasan itu masih relevan? Langkah kerajaan mewujudkan begitu banyak pusat dan institusi latihan kemahiran sewajarnya menjawab persoalan itu. Kita percaya bilangan rakyat kita yang mahir dalam pelbagai bidang yang diperlukan oleh pasaran kerja tempatan semakin hari semakin bertambah.

Maka adalah amat wajar sekali untuk negara ini menghentikan ­pe­ngambilan tenaga kerja asing secara berperingkat dan digantikan dengan anak tempatan yang tidak kurang hebatnya. Berilah peluang kepada anak tempatan untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Jangan lupa kita mahu berjaya dan membangun mengikut acuan kita sendiri.

Pada masa sama, majikan juga perlu menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pekerja supaya elemen inovasi dapat terus disuburkan. Idea dan cadangan bernas dari pekerja perlu diberi perhatian serius supaya budaya sumbangan dan kekitaan dapat dimartabatkan. Golongan pekerja baru dan muda terutamanya perlu diberi kedudukan dan peluang yang seimbang dalam menonjolkan idea dan pandangan mereka manakala pengalaman orang lama pula perlu diiktiraf, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya.

Hakikatnya masa begitu mencemburui kita. Hanya berbaki empat tahun untuk menuju impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan tempoh ini bukanlah satu tempoh yang panjang. Untuk mencapai impian tersebut, ekonomi kita perlu terus kukuh dan berkembang maju dan untuk itu sudah pastinya kita memerlukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

Justeru warga pekerja dan majikan perlu memperkasakan sinergi perhubungan dan sumbangan demi memastikan program transformasi kerajaan yang dicipta khusus untuk menuju status negara maju sentiasa berada di landasan dan platform yang betul dan tepat. Selamat Menyambut Hari Pekerja.

PENULIS ialah Ketua Bahagian 
Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia